Skip to main content

Bola Sepak

Irfan tekad pamer aksi terbaik bertemu Selangor FC

irfan.jpg
'Tiada istilah simpan kaki', pertahanan Kuala Lumpur City FC, Irfan Zakaria, tekad memberikan komitmen 100 peratus untuk aksi pertama Liga Super yang juga pertemuan derby Lembah Klang menentang Selangor FC di laman sendiri esok.

Ia sekali gus menyaksikan pertahanan skuad Harimau Malaya itu akan membarisi semula kesebelasan utama skuad The City Boys selepas berehat selama tiga bulan ekoran kecederaan buku lali.

Irfan tampak jadi taruhan utama pengendalinya Bojan Hodak kali ini susulan kecederaan menimpa Kenny Palraj dalam perlawanan Piala Sumbangsih bertemu Johor Darul Ta'zim minggu lalu.

Dalam pertemuan itu, Irfan dimasukkan pada minit ke-40 menggantikan Kenny dan tampak berjaya mengatasi perasaan gemuruh untuk menjelmakan aksi ampuh dalam baki minit permainan.

Kecederaan buku lali yang menimpa Irfan musim lalu menyebabkan dia terpaksa menjalani pembedahan sebelum terlepas aksi final Piala Malaysia dan kempen Piala AFF di Singapura.

Namun, anak jati Kuala Lumpur berusia 27 tahun ini mahu memanfaat sepenuhnya peluang beraksi di awal musim liga untuk menambat hati jurulatih baru negara, Kim Pan-gon menjelang kelayakan Piala Asia Jun ini.

Imej: Kuala Lumpur City

Advertisement

Must Watch Video