Skip to main content

Bola Sepak

Irfan sasar separuh akhir

irfan_1.jpg
Selepas menamatkan Liga Super dengan kekecewaan, Terengganu FC (TFC) meletakkan sasaran mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2018.

Menurut ketua jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, sasaran itu mampu dicapai berbanding edisi tahun lalu di mana Terengganu gagal melepasi peringkat kumpulan.

Diundi di dalam Kumpulan A, Irfan berkata peluang masih terbuka buat kesemua empat pasukan, termasuk cabaran pasukan Liga Perdana, Felcra FC, yang tidak boleh dipandang sepi.

"Tiada pasukan pilihan dalam kumpulan kami, malah Felcra juga perlu diberi perhatian kerana beraksi cukup baik tahun ini.

"Namun, saya yakin Terengganu berupaya menempatkan diri ke separuh akhir," katanya.

Terengganu berdepan tugas berat memulakan aksi pertama bertemu Kuala Lumpur di Cheras, Sabtu ini, sebelum berkunjung ke Ipoh untuk membuat perhitungan dengan naib juara Liga Super, Perak (11 Ogos).

Jurulatih berpengalaman itu, bagaimanapun, enggan situasi berkenaan menghalang skuad bimbingannya bermula dengan langkah kanan.

Kekecewaan dalam saingan liga serta Piala FA tahun ini juga perlu segera dilupakan, sebaliknya fokus untuk memburu gelaran berprestij itu.

"Tidak ideal (dua perlawanan pertama di tempat lawan) tetapi kemudian kami juga akan beraksi dua kali di Kuala Terengganu.

"Jadi, undian itu adil dan Terengganu perlu mengutip mata di Cheras dan Ipoh," tambah Irfan.

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)

Advertisement

Must Watch Video