Skip to main content

Bola Sepak

Irfan risau penyerang tumpul

irfan-bakti.jpg
Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, menagih ketajaman barisan penyerangnya dalam aksi Liga Super bertemu PKNP FC di Kuala Terengganu, malam esok.

Selain prestasi Kipre Tchetche yang menjadi tumpuan pemerhati, Irfan mengakui barisan pemainnya seperti tidak bernafsu di depan gol.

Situasi itu semakin menghimpit finalis Piala Malaysia 2018 itu dengan keberadaan Tchetche dalam kesebelasan utama juga tidak dapat dipastikan.

"Pada saya, bahagian sayap masih tak hidup dan mereka sepatutnya mampu menjaringkan hatrik tetapi tiada naluri pemusnah.

"Tchetche belum pasti diturunkan kerana ada sesuatu yang hilang dalam persembahannya.

"Musim lalu, walaupun tak jaringkan gol, dia tetap berbisa dengan gelecekan berbahaya tapi pergerakannya kini terhad," katanya.

Dalam aksi Piala FA menentang Ultimate FC, Selasa lalu, gandingan tiga serangkai Ashari Samsudin, Khairul Izuan Rosli dan Mohd Shahrul Aizad menjadi pilihan Irfan di jentera serangan.

Pemain import, Lee Tuck, akan diturunkan untuk kembali memperkuatkan TFC bersama Sanjar Shaakhmedov dan Thierry Chantha Bin.

"PKNP masih segar dengan dua kemenangan berturut-turut dan kami perlu segera menekan mereka di bahagian tengah," tambahnya yang tidak dapat bersama TFC untuk aksi tersebut.

Advertisement

Must Watch Video