Skip to main content

Bola Sepak

Irfan puji karakter Sang Penyu

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

irfan-bakti-abu-salim.jpg
Pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, memuji kekuatan mental skuad bimbingannya yang bangkit di ambang kekalahan untuk menewaskan Felda United dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, malam tadi.

Mengakui pemain-pemainnya dihukum kesilapan sendiri serta kegagalan menguasai jentera tengah dalam babak pertama, Irfan menyifatkan aksi lebih berani dalam 45 minit kedua berjaya mengubah nasib TFC.

Ketinggalan dua gol, TFC bangkit menyamakan kedudukan, namun sekali lagi hampir ditunjukkan jalan keluar selepas Felda menjaringkan gol ketiga ketika permainan berbaki 12 minit sebelum Abdul Malik Mat Ariff dan Kipre Tchetche menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-3.

"Saya memberitahu mereka ini adalah masanya untuk melangkah ke separuh akhir dan hasilnya kami bangkit dengan dramatik.

"Apa yang dipersembahkan malam ini (semalam) menunjukkan kekuatan mental yang cukup kuat selepas ketinggalan 0-2 dan kemudian 2-3," katanya yang juga bekas jurulatih Felda.

Percaturan memasukkan pemain lincah, Mohd Faiz Nasir, dan Abdul Malik juga dilihat mengubah tempo TFC selain kelibat import berpengaruh, Lee Tuck, yang mencetuskan kebangkitan dengan gol pertama.

"(Faiz) lebih berani meminta dan mengatasi lawan ketika memegang bola dan itu kelebihan dia.

"Pergerakan kami agak terbatas di bahagian tengah dan saya mengarahkan pemain-pemain melebarkan kawasan di bahagian sayap," tambah Irfan.

Advertisement

Must Watch Video