Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Insigne: Ini antara aksi terburuk Napoli

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

insigne.jpg
Lorenzo Insigne menganggap Napoli menampilkan salah satu persembahan terburuknya musim ini dalam kekalahan 0-2 kepada Arsenal dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa di Stadium Emirates, awal pagi tadi. 

Gol pembukaan Aaron Ramsey dan gol sendiri Kalidou Koulibaly menyebabkan Napoli berdepan laluan berliku dalam aksi timbal balik di Stadio San Paolo, minggu depan. 

Insigne mensia-siakan peluang besar untuk mengurangkan defisit gol sebelum separuh masa pertama sementara Piotr Zielinski terlepas peluang untuk mencetak gol lewat selepas menerima lorongan penyerang Itali itu. 

Ketua pasukan Napoli itu mengakui dia berasa bersalah kerana rembatannya hanya menggegar palang sambil menekankan kegagalan pasukannya dalam babak pertama.

"Saya masih memikirkan peluang tersebut kerana jaringan di tempat lawan pasti penting," kata Insigne kepada Sky Sport Italia. "Saya sempat melakukan rembatan tetapi ia satu percubaan teruk.

"Kami perlu memikirkan kesilapan yang telah dilakukan bagi memastikan kami tidak mengulanginya lagi minggu depan.

"Kami tidak berani di peringkat permulaan permainan. Ia merupakan salah satu persembahan terburuk kami musim ini, namun kami perlu terus memberikan tumpuan dan melakukannya dengan cara yang berbeza dalam perlawanan kedua kelak.

"Arsenal adalah pasukan yang hebat, kita sudah menyaksikannya malam ini dan sudah tahu mengenainya sebelum ini. Kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dan mereka lebih efektif dengan memanfaatkan peluang gol.

"Kami harus menunjukkan keazaman dan keamatan tinggi untuk mengubah kedudukan ini."

Napoli harus berterima kasih kepada penjaga gol, Alex Meret, kerana tangkas menyelamatkan gerakan berbahaya lawan untuk menyalakan harapan mereka dalam aksi timbal balik, lebih-lebih lagi mereka hanya kalah sekali di laman sendiri sejak Mac 2018.

"Kami beraksi buruk dalam separuh masa pertama, kami membuat banyak kesilapan dan hantaran kami tidak tepat," kata Meret kepada Sky Sport Italia. "Kami memerlukan lebih banyak keberanian untuk bermain dari pertahanan. 

"Bagaimanapun, kami beraksi jauh lebih baik selepas rehat dan mencipta banyak peluang. Kami tahu ia akan menjadi sangat sukar tetapi kami percaya bahawa kami boleh mengubah keputusan dalam perlawanan kedua.

"Penyudah kami tidak begitu tajam seperti yang sering kami lakukan selain perkara-perkara yang kami cuba ketika dalam latihan juga tidak menjadi. Terdapat peningkatan yang baik selepas rehat dan kami perlu membinanya daripada situ. 

"Arsenal sering bergelut apabila kami cuba membelah pertahanan mereka. 

"Oleh itu, kami perlu bekerja keras dalam pertemuan kedua. Kami bakal menerima sokongan padu di San Paolo dan kami akan curahkan aksi terbaik."


 

Advertisement

Must Watch Video