Skip to main content

Bola Sepak

Iniesta teruja aksi berdepan Barcelona

iniesta-cropped_knjak5zjoqa91kjit8cli9g8b.jpg
Andres Iniesta menjangkakan aksi istimewa di antara Vissel Kobe dan bekas kelabnya, Barcelona, petang ini sambil berasa istimewa dapat melibatkan diri.

Iniesta meninggalkan Barca pada 2018 selepas 16 tahun bersama skuad utama di Camp Nou sebelum berhijrah ke kelab Liga J1 itu.

Dan pemain berusia 35 tahun itu menjangkakan perlawanan tersebut bakal menjadi detik istimewa, bukan sahaja secara peribadi tetapi buat pemain serta penyokong Vissel Kobe.

"Bagi kami, ia satu penghargaan menentang Barca. Ia akan menjadi perlawanan istimewa," katanya.

"Secara peribadi, ia sesuatu yang istimewa dapat berdepan bekas rakan sepasukan. Kami akan cuba bersaing dengan baik sambil mempersiapkan diri menjelang perlawanan liga, di mana ia sangat penting.

"Kami menjangkakan peminat-peminat akan menikmati perlawanan ini. Diharapkan ia akan menjadi hari istimewa buat semua peminat kami, penyokong Barca serta penduduk Jepun."

Tatkala saingan Liga J1 bakal bermula, Barca akan melalui perlawanan pramusim kedua setelah anak buah Ernesto Valverde itu tewas 2-1 di tangan Chelsea, Selasa lalu.

Juara LaLiga, Barcelona, akan melayan kunjungan Arsenal di Camp Nou dalam aksi seterusnya sebelum berdepan Napoli dua kali di Amerika Syarikat menjelang aksi pembukaan LaLiga menentang Athletic Bilbao.

Dalam masa sama, Valverde hanya dapat meluangkan masa seketika bersama pasukan bimbingannya itu sebelum berlepas ke Jepun dan dia mengakui perjalanan yang memenatkan memberi kesan kepada kecergasan anak buahnya.

"Jelas sekali, kempen pramusim kami bukan pada tahap yang sebenar jika anda bandingkan dengan pasukan lain," kata pengendali itu.

"Kami hanya perlu menyesuaikan diri dengan kunjungan ini memandangkan kelab ingin meluaskan jenama pasukan.

"Selain itu, kelab akan dapat mengumpul jumlah wang yang penting menerusi aksi sebegini, jadi kami perlu menyesuaikan diri.

"Daripada segi latihan, ia agak terhad kerana kami hanya dapat mengharunginya selama seminggu. Di Jepun, tahap sesi latihan agak berbeza."
 

Advertisement

Must Watch Video