ACLE
Ini wawancara penuh Arif Aiman bersama AFC
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menganggap pemain sayap Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi, telah mencipta impak besar dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini.
Pemain berusia 22 tahun itu telah menjaringkan empat gol dalam saingan peringkat kumpulan ACLE, setara dengan nama-nama besar seperti Akram Afif (Al-Sadd), Riyad Mahrez (Al-Ahli) dan Ivan Toney (Al-Ahli).
JDT ketika ini berada di tangga keenam Liga Bahagian Timur ACLE dengan lapan mata daripada enam perlawanan, di mana lapan pasukan terbaik daripada 12 pasukan dalam setiap kumpulan akan layak ke pusingan kedua.
Iklan
Berikut merupakan wawancara penuh Arif Aiman bersama laman web rasmi AFC:
AFC: Bagaimana anda merumuskan prestasi JDT dalam ACLE setakat ini?
Arif Aiman: Saya belum mahu merumuskan kempen kami. Kami mempunyai dua perlawanan lagi dan kami menantikan perlawanan itu berbanding melihat ke belakang untuk menilai prestasi kami.
AFC: Anda telah memberi impak yang besar dalam kejohanan ini, apakah yang menjadi kemuncak anda dalam enam perlawanan pertama peringkat kumpulan? Ceritakan kami tentang gol yang telah anda telah dan impaknya.
Arif Aiman: Impak besar itu ialah terhadap pasukan dan dilakukan oleh pasukan, bukan oleh saya sahaja. Ia mengenai kami semua memberikan yang terbaik dalam kesemua enam perlawanan peringkat kumpulan yang telah kami lalui, dan masih banyak bahagian yang perlu kami perbaiki. Kami perlu menambah baik lagi untuk perlawanan akan datang bagi memastikan kami mara ke pusingan seterusnya. Gol yang dijaringkan oleh saya adalah motivasi untuk saya dan saya akan terus berusaha dalam perlawanan akan datang.
AFC: JDT berada di tempat keenam dalam kedudukan di peringkat liga, apakah ertinya kepada anda dan kelab anda untuk layak ke pusingan 16 dan sejauh manakah anda yakin anda boleh mendapatkannya?
Arif Aiman: Kami akan melakukan yang terbaik dalam perlawanan-perlawanan akan datang, hanya tinggal dua perlawanan peringkat liga. Kami sebagai satu pasukan sudah bersedia dan telah memberikan tumpuan terhadap persiapan. Dua perlawanan akhir ini penting untuk kami menentukan sama ada kami layak ke pusingan 16 atau tidak.
AFC: Anda mempunyai pengalaman bermain dalam Liga Juara-Juara Asia dalam musim-musim sebelum ini bersama JDT, bagaimana ia telah membantu anda menangani cabaran yang dihadapi dalam saingan tahun ini?
Arif Aiman: Berdasarkan pengalaman saya bermain di peringkat tertinggi, sentiasa ada cabaran dalam setiap perlawanan. Bagi perlawanan di peringkat tertinggi di Asia, setiap perlawanan bukanlah mudah tetapi saya mengambilnya sebagai peluang untuk saya membuktikan diri di peringkat Asia. Ia bukan beban tetapi peluang untuk diri saya sendiri. Saya menghargainya dan akan memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan. Tahap ini mencabar bukan sahaja untuk saya tetapi juga satu pasukan, itulah sebabnya kami berusaha untuk mendapatkan kemenangan.
AFC: Sila beritahu kami sedikit tentang diri anda, bagaimana perjalanan anda untuk menjadi pemain bola sepak profesional dan siapa wira atau pengaruh terbesar anda sewaktu membesar?
Arif Aiman: Impian saya dari muda adalah untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya. Selama ini, saya mendapat sokongan yang hebat, terutama daripada ibu bapa saya yang banyak menyokong dan mendoakan kejayaan saya sejak kecil. Pemangku Sultan Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemilik JDT) telah banyak menyokong dan memainkan peranan dalam pertumbuhan saya di JDT. Saya akan terus bekerja keras kerana mentaliti saya adalah untuk sentiasa memperbaiki diri. Wira dan suri teladan saya ialah ahli keluarga saya yang sentiasa menyokong saya.
AFC: Apakah matlamat jangka panjang anda? Adakah anda mempunyai cita-cita untuk pergi ke luar negara, dan jika ya, di manakah anda ingin bermain pada masa hadapan?
Arif Aiman: Matlamat jangka panjang saya adalah untuk terus meningkat sebagai pemain dan terus beraksi di tahap tertinggi untuk JDT. Saya perlu terus bekerja keras untuk berada di tempat saya hari ini. Saya rasa tahap saya masih belum cukup, jadi saya akan terus berusaha dan menyasarkan matlamat yang tinggi.
Must-Watch Video