Skip to main content

Bola Sepak

Ini langkah pertama -- Klopp tekad Liverpool cabar semula musim 2019-20

jurgen-klopp-cropped_165ek9khrmzyv1jhbohc822s7d.jpg
Jurgen Klopp menegaskan Liverpool telah mengambil langkah pertama untuk mengejar kejuaraan selepas terlepas trofi Liga Perdana Inggeris kepada Manchester City.

Kemenangan 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Anfield semalam tidak cukup untuk memberikan The Reds kejuaraan liga pertama dalam tempoh 29 tahun memandangkan City berkelebihan satu mata susulan kejayaan membenam Brighton and Hove Albion 4-1.

Liverpool hanya tewas sekali dalam musim 2018-19, di Etihad, sambil kutipan 97 yang mereka raih merupakan catatan tertinggi selain skuad kendalian Pep Guardiola itu dalam dua musim terakhir.

Pengurus, Klopp, berasa dia tidak boleh meminta lebih banyak daripada pemain tetapi yakin mereka akan tampil lebih baik musim depan.

"Saya tahu orang ramai akan menemui sesuatu di sana-sini," ujarnya.

"Kami bertuah, begitu juga City. Untuk mendapatkan 97 dan 98 mata, ia bukan sekadar menundukkan lawan tetapi kekal dalam perebutan kejuaraan, terus percaya dan itu yang kami lakukan.

"Apabila lawan anda adalah City, ia sukar. Mereka tidak dapat lari daripada kami dan begitu juga kami di sepanjang musim. Saya menerimanya.

"Berada di tangga kedua bukan apa yang saya inginkan tetapi ini adalah permulaan.

"Di dalam negara ini, orang ramai bercakap tentang pemain yang masuk, namun pemain yang beraksi semalam serta beberapa minggu lalu bersatu sejak musim lalu, kecuali Alisson.

"Mereka mencipta langkah yang gila. Kami merapatkan jurang dari 25 mata dan sebagainya. Saya memberitahu pemain, jika kami meneruskannya, ia akan menjadi satu musim penuh!

"Kami mempunyai tiga minggu untuk menghadapi final Liga Juara-Juara Eropah. Pasukan ini telah belajar daripada pengalaman. Jadi, mari cuba."

Klopp juga berasa reaksi peminat di Anfield selepas tamat perlawanan semalam membuktikan mereka menikmati persaingan dengan City walaupun ia berakhir dengan kekecewaan.

"Kami akan meningkat dan berkembang. Saya melihat orang ramai di sini dan tiada siapa menangis. Mereka menikmatinya," kata Klopp.

"Saya harus ucap tahniah kepada City yang mengutip 198 mata dalam tempoh dua musim. Hebat. Kami membantu dengan memberi tekanan tetapi mereka tetap menerima penghormatan saya."

Advertisement

Must Watch Video