LIGA SUPER MSIA
Indra sasar ledak gol ke-100 Liga Super
Hanya dua jaringan lagi diperlukan oleh kapten skuad Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin, untuk mencipta sejarah meraih 100 gol dalam saingan Liga Super yang mula diperkenalkan pada 2004.
Indra yang sedang mendahului carta penjaring terbanyak Liga Super dengan 98 gol setakat ini mahu melengkapkan 100 gol dalam saingan Liga Super musim ini.
Bagaimanapun, bekas penyerang kebangsaan itu mengakui ia bukan satu tugas mudah meskipun hanya memerlukan dua jaringan lagi untuk mencapai impian tersebut.
Iklan
Sejumlah 98 gol yang diledak oleh pemain berusia 38 tahun itu dilakar ketika dia pernah beraksi bersama beberapa pasukan seperti Perak, Pahang, Selangor dan Kelantan.
"Jika saya mendapat peluang, ia tidak akan disia-siakan dalam memastikan saya berjaya meledak jaringan ke-100 dalam Liga Super serta membantu Kuala Lumpur," katanya.
Apa yang lebih penting, Indra berharap mampu tampil dengan aksi lebih mantap, sekali gus membantu skuad The City Boys mencapai kejayaan dalam setiap perlawanan.
"Saya tidak mengutamakan jaringan kerana sesiapa sahaja dalam pasukan perlu mengambil peluang bagi memastikan kemenangan untuk Kuala Lumpur."
Must-Watch Video