Skip to main content

Bola Sepak

Indra mahu jadikan kejayaan sebagai pembakar semangat

indra-putra-mahayuddin_1.jpg
Penyerang Kuala Lumpur, Indra Putra Mahayuddin, mahu menjadikan kejayaannya menjaringkan 100 gol dalam kancah Liga Super sebagai pembakar semangat menjelang aksi menentang Felda United dalam suku akhir pertama Piala FA di Cheras, malam esok. 

Indra, yang menjadi pemain pertama menjaringkan 100 gol dalam Liga Super, berwaspada dengan ancaman Felda United, yang menyingkirkan Selangor dalam pusingan ketiga.

Pemain berusia 38 tahun itu bertekad untuk membantu skuad Warga Kota berkenaan menjulang Piala FA musim ini selepas kali terakhir melakukannya 20 tahun lalu.

"Insya-Allah, ini merupakan suku akhir yang kedua buat Kuala Lumpur.

"Dengan pencapaian saya meraih 100 gol, ia akan menjadi perangsang untuk menjaringkan lebih banyak gol.

"Kami tidak boleh memandang rendah kekuatan Felda walaupun kami mengikat seri mereka dalam Liga Super.

"Saya rasa Felda mempunyai kelebihan," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, mahu anak buahnya memberikan tumpuan dalam memastikan kemaraan ke separuh akhir.

Yee Fatt mengakui prestasi pemainnya terkesan dengan jadual padat memandangkan aksi kedua menentang pasukan bimbingan Nidzam Jamil itu akan berlangsung pada bulan Ramadhan. 

"Kami bernasib baik kerana dapat menurunkan kesebelasan utama esok.

"Tetapi, kami akan mengambil satu perlawanan pada satu-satu masa dan perlu memberikan fokus.

"Kami hanya perlu menumpukan kepada satu perlawanan dan kemudian kepada perlawanan yang akan datang," katanya.

Advertisement

Must Watch Video