Skip to main content

Bola Sepak

Impian The Clarets ke Liga Europa berkecai

burnley.jpg
BURNLEY 1 OLYMPIACOS 1 
(Olympiacos menang agregat 4-2)

Burnley terpaksa menelan keperitan apabila dua gol lewat pada awal pagi tadi menyaksikan mereka terikat 1-1 di Olympiacos yang menguburkan impian untuk membuat kemunculan sulung dalam Liga Europa apabila kecundang 2-4 secara agregat.


Kekalahan 1-3 di Greece minggu lalu membuatkan Burnley berdepan laluan berliku dan setelah melepaskan beberapa peluang menarik dalam separuh masa pertama di Turf Moor, Daniel Podence menyempitkan ruang mereka untuk bangkit pada minit ke-83 dan gol penyamakan Matej Vydra bagaimanapun tidak cukup untuk meletakkan mereka di peringkat kumpulan.

Sungguhpun pelawat bermula cemerlang dan kelihatan berbahaya apabila Podence berada di kubu lawan, Burnley tidak menunggu lama untuk mengambil alih permainan dan hanya penyudah lemah menggagalkan usaha mereka untuk memecah kebuntuan. 

Sam Vokes khususnya gagal melaksanakan peranannya apabila menanduk liar peluang dari jarak dekat pada minit ke-23 dan mengulanginya lima minit kemudian.

Vokes kemudian membekalkan umpanan sebelum rehat apabila hantarannya membelah pertahanan untuk menemui Ashley Barnes yang melancarkan rembatan yang tidak berbahaya.

Burnley semakin garang selepas rehat -- percubaan jarak jauh Vokes menggegar tiang sambil Dwight McNeil turut mengulangi percubaannya untuk menguji Andreas Gianniotis dari jarak 25 ela. 

Ketika anak buah Sean Dyche itu semakin terdesak, Olympiacos menemui ruang dan Podence menghukum mereka di dalam kawasan penalti.

Vydra sekurang-kurangnya mendapatkan gol pada minit ke-86 untuk mengikat kedudukan tetapi ia sudah terlewat buat pasukan Liga Perdana itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video