Penyerang import The Red Warriors (TRW), Blaze Ilijoski, lega dapat menamatkan kemarau gol, sekali gus membantu Kelantan mengalahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam semalam.
“Puas hati kerana dapat menamatkan kemarau jaringan dan menjaringkan gol kemenangan untuk Kelantan mengatasi cabaran sukar pasukan tuan rumah (PDRM).
“Itu adalah kesilapan mudah penjaga gol yang gagal menangkap kemas sepakan kencang saya, terlucut daripada dakapan dan bergolek masuk ke dalam gawang,” katanya.
Ditanya mengenai cuti panjang yang dimiliki pemain TRW sebelum beraksi dalam perlawanan terakhir Liga Super musim ini menentang Perak di Kota Bharu, Ilijoski berharap mereka (pasukan) dapat menikmatinya sambil memikirkan strategi terbaik untuk memburu kemenangan di hadapan penonton sendiri.
“Ya…rehat yang agak panjang (hampir tiga minggu) untuk membuat persediaan menentang Perak di gelanggang sendiri. Tentunya kami akan berikan persembahan terbaik dalam perlawanan terakhir liga nanti,” katanya.
Dalam saingan menentang The Cops malam semalam, penyerang import kelahiran Macedonia ini diletakkan di bangku simpanan sebelum masuk menggantikan pemain sayap, Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, pada minit ke- 65.
Ilijoski membalas kepercayaan ketua jurulatih, Velizar Popov, apabila melakukan sepakan kencang menewaskan penjaga gol muda PDRM, Mohd Haziq Nadzli, pada minit ke-78, sekali gus memberikan kemenangan berharga kepada Kelantan.
Untuk rekod, jaringan Ilijoski hadir selepas penyerang ini mengalami kemarau jaringan yang berpanjangan dan kali terakhir sentuhan jaringannya menjadi apabila meledakkan empat gol di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin ketika TRW membelasah Terengganu 6-1 dalam saingan Liga Super, Julai lalu.
Sebelum itu, penyerang TRW, Indra Putra Mahayudin, meletakkan Kelantan di hadapan melalui sepakan percuma yang cantik dari luar kotak penalti The Cops pada minit ke-31.
Sembilan minit diperlukan PDRM untuk bangkit menyamakan kedudukan melalui tolakan mudah Mohd Fakrul Aiman Sidid setelah rembatan penyerang import dari Brazil, Guilherme de Paula, gagal ditangkap kemas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.
Bola Sepak