Skip to main content

Bola Sepak

Idola saya kini rakan sepasukan saya -- De Jong tidak percaya sepasukan dengan Messi

dejong.jpg
Frenkie de Jong bagaikan di alam mimpi sebaik sah menyertai Barcelona dan menjadi rakan sepasukan idolanya, Lionel Messi.

Barca mengumumkan kemasukan De Jong, Januari lalu dengan perpindahan itu akan berkuat kuasa dalam musim 2019-2020.

Persetujuan itu berpotensi untuk mendatangkan €86 juta (RM401 juta) buat kelab Belanda itu.

Sebagai pemain tengah berbakat dengan teknik yang tinggi, De Jong menarik minat ramai pihak sepanjang mewakili Ajax, namun dia semakin menyinar musim lalu apabila membantu pasukan itu melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Dengan kemasukan De Jong, Barca berasakan mereka sudah memiliki pemain yang berupaya untuk meneruskan warisan Andres Iniesta dan Sergio Busquets dengan gaya permainan yang menyeluruh.

De Jong turut menyedari maksud sebenar mewakili skuad Blaugrana itu ketika dia sedang bersiap-sedia untuk beraksi di samping Messi.

"Saya amat gembira untuk akhirnya berada di sini," katanya dalam laman web pasukan.

"Sewaktu kecil, ia merupakan impian saya untuk beraksi di Barca dan saya kini berada di sini, jadi ia amat hebat.

"Saya tidak sabar untuk menjejakkan kaki buat kali pertama di Camp Nou.

"Saya amat gembira kerana dapat bermain bersama Messi, yang sentiasa saya contohi.

"Kini, idola saya adalah rakan sepasukan saya," katanya.

Ketika perpindahannya daripada Eridivisie ke LaLiga merupakan sesuatu yang mencuri tumpuan, De Jong tidak berasa akan bergelut untuk menyesuaikan diri kerana terdapat persamaan di antara falsafah Barca, Ajax dan Belanda.

"Saya menggemari gaya permainan Barca.

"Falsafah Barca dan Ajax amat mirip dan saya akan menikmatinya.

"Barca dan Belanda sentiasa memiliki hubungan yang istimewa dan saya berharap dapat mengekalkan tradisi itu.

"Saya mahu menjadi salah seorang pemain terhebat Belanda yang bermain untuk Barcelona," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video