Maafkan tajuk artikel kali ini, sebab itu mungkin satu satunya kisah cinta di Nusantara yang hampir sama hebat dengan kisah cinta bolasepak kita.
Nak move on dari Liga Super kali ini memang payah, dengan drama pertukaran jurulatih, perpindahan yang tak disangka, temubual post-match yang tular tetapi paling penting sekali; kembalinya Liga Super ke Astro Arena.
Dengan tamatnya Liga Super 2023 yang cukup manis dan dramatis, kekal terbukti bolasepak adalah cinta pertama dan sukan nombor satu rakyat Malaysia.
Biarpun pada awalnya lebih banyak bicara tentang Coldplay selaku resipi utama padang kuih seri muka Piala Malaysia, namun bibit bibit itu terus tenggelam sebaik sahaja wisel Liga Super kembali dibunyikan.
Jika JDT sah juara liga, maka tempat kedua bagi menempah slot ke Asia masih lagi terbuka dan menjadi rebutan.
Umum mengetahui tiket itu akhirnya milik Selangor yang meraikan kejayaan itu dengan penuh gemilang di Stadium MBPJ, tetapi apakah perasaan cinta terhadap bolasepak sekadar di peringkat liga sahaja?
Oh tidak, kita tiada halangan mahupun batasan kalau nak dibandingkan dengan ceritera Mas Raja yang sanggup tinggalkan Jeng Yah untuk Pak Jagad. Money over love? Club over country? Mana mungkin.
Kim Pan Gon sudahpun memanggil watak terhebat Liga Super untuk memikul tanggungjawab lebih besar, kali ini mewakili nama Malaysia di Kumpulan E (E untuk “Epik”) berdepan Jordan, Bahrain dan Korea Selatan.
Sudah pastinya kita akan terus buktikan diri kita setia, dan Piala Asia berkemungkinan bakal menjadi surat cinta paling romantis yang boleh kita sama-sama hasilkan.
Bola Sepak