BOLA SEPAK
Ia menyakitkan -- Southgate sedih selepas England tewas
Gareth Southgate menyifatkan kekalahan England dalam separuh akhir Liga Negara-Negara UEFA sebagai perkara yang menyakitkan tetapi menegaskan The Three Lions banyak belajar daripada kekalahan dalam masa tambahan di tangan Belanda itu.
England tewas 3-1 di tangan Belanda dalam aksi di Guimaraes, Portugal awal pagi tadi tatkala anak buah Southgate itu terlepas peluang untuk beraksi dalam final kejohanan sulung tersebut.
Marcus Rashford memberikan pendahuluan buat England menerusi sepakan penalti dalam babak pertama manakala Matthijs De Ligt menyamakan kedudukan sebelum dua kesilapan membolehkan Belanda meraih dua jaringan dalam masa tambahan.
Iklan
Kekalahan itu ibarat perkara sama yang dilalui England setelah turut terkandas dalam separuh akhir Piala Dunia tahun lalu, namun Southgate tetap menyatakan rasa puas hati selepas perlawanan.
"Kami bercakap tentang sekumpulan staf sebelum perlawanan bagaimana hebat England beraksi dalam kejohanan, turun naik pasukan, jadi sukar untuk menerimanya.
"Saya rasa lawan benar-benar berkualiti. Mereka memberikan masalah dalam babak pertama tanpa mencipta peluang terbuka. Kami menyelesaikan masalah itu tetapi terlalu banyak kesilapan yang kami lakukan dalam kawasan sendiri disebabkan tekanan yang diberi lawan. Kami beraksi buruk walaupun meraih pendahuluan.
"Kami menjaringkan gol, mengawal permainan sehinggalah lawan akhirnya meraih gol kedua. Gol kedua terakhir adalah kesilapan yang sukar untuk diterima. Saya berbangga kerana pemain memberikan makna segalanya. Namun, ia tetap memeritkan buat mereka walaupun dalam masa sama, kami belajar daripadanya.
"Sesetengah pemain tetap menyinar. Declan Rice dapat menyesuaikan diri, Ross Barkley sangat menonjol. Raheem Sterling tampak bergelut ketika beraksi dalam satu lagi aksi separuh akhir tetapi ia perlu dilihat daripada sudut berbeza. Saya perlu melihatnya daripada menerusi gambaran lebih besar," katanya.
Must-Watch Video



