Skip to main content

Bola Sepak

Hummels kritik taktik Jerman ketika tewas di tangan Mexico

mats-hummels_1bdlph2rfea1r1ixqs53op8iwu.jpg
Mats Hummels berkata pendekatan taktikal Jerman adalah salah selepas penyandang juara Piala Dunia itu tewas 1-0 kepada Mexico di Stadium Luzhniki, semalam.

Hirving Lozano meledak jaringan tunggal dalam pertembungan Kumpulan F itu tetapi Mexico melepaskan banyak peluang untuk memecah rekod dan mencatat kemenangan lebih besar.

Sementara itu, Jerman membuat 26 percubaan tanpa memberikan banyak masalah kepada Guillermo Ochoa walaupun penjaga gol Mexico itu menyelamatkan sembilan percubaan untuk mengekalkan rekod bersih.

Hummels berasakan Jerman tidak mengendahkan amaran daripada aksi pemanas badan terakhir mereka ketika kemenangan sukar 2-1 berdepan Arab Saudi, satu-satunya kejayaan mereka dalam tujuh perlawanan sejak berakhirnya kempen kelayakan Piala Dunia tahun lalu.

"Ia cukup mudah. Kami bermain seperti yang kami lakukan menentang Arab Saudi kecuali kami berdepan lawan yang lebih baik," kata Hummels kepada ZDF.

"Kami berbincang tentang beberapa perkara seperti tidak melepaskan penguasaan dan pertahanan, yang malangnya kami tidak lakukan hari ini.

"Mexico lebih berhak kerana kami membuatnya terlalu mudah untuk mereka, kami tidak sepatutnya membenarkan ia berlaku.

"Sekiranya tujuh atau lapan pemain bermain secara agresif, maka jelas sekali bahawa jentera serangan lebih besar daripada kestabilan pertahanan. Itulah yang sering saya katakan di peringkat dalaman.

"Kestabilan kami tidak baik, kami perlu akui -- sering kali Jerome (Boateng) dan saya berada di belakang, mereka tanpa tanpa belas kasihan menyerang kami," tambahnya.

Jerman masih mengharapkan peningkatan -- mereka akan menghadapi Sweden dan Korea Selatan dalam baki perlawanan -- tetapi Hummels memberitahu rakan sepasukannya agar menambah baik idea mereka.

"Amaran sudah terlambat, kami kini perlu memenangi dua perlawanan, jika tidak Piala Dunia berakhir," kata Hummels. "Kami sebenarnya sudah mempunyai amaran ketika menentang Arab Saudi."

Sementara itu, pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos, turut menyuarakan pendapat sama bagi menuntut prestasi lebih baik ketika Jerman bakal menghadapi Korea Selatan di Kazan, Rabu ini.

"Saya fikir kami tidak mendapat sebarang penyelesaian dalam babak pertama," kata Kroos.

"Mexico bijak, kami lebih baik dalam babak kedua dan Mexico keletihan.

"Kami berada di bawah tekanan sekarang. Tanpa persoalan, kami perlu mendapat enam mata daripada dua perlawanan."

Advertisement

Must Watch Video