Skip to main content

Bola Sepak

Hubungannya dengan Barca tidak akan berakhir -- Bartomeu mahu kekalkan Messi

messi_1.jpg
Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, berkata penyandang juara LaLiga itu sedang merancang untuk menyediakan lanjutan kontrak buat bintang utamanya, Lionel Messi.

Messi menyambung kontraknya dengan Barca pada 2017 -- bagi memanjangkan perjanjian hingga 2021 -- dan pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu tidak menunjukkan sebarang kemerosotan prestasi musim ini.

Pemain berusia 31 tahun itu melakukan penampilan kompetitif pertamanya buat Barca pada 2004 ketika berusia 17 tahun dan telah menjaringkan 32 gol dalam LaLiga musim ini -- 42 dalam kesemua kejohanan.

Bartomeu mahu memperbaharui kontrak Messi di Camp Nou di mana pemain itu merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Barca.

"Kami mahu dia memiliki karier yang panjang di sini agar kami dapat terus menikmati kehebatannya," katanya kepada ESPN.

"Lionel berjaya memecahkan sempadan.

"Semua orang mengaguminya dan dia turut diberikan sorakan di gelanggang lawan.

"Kami mahu memperbaharui kontraknya. Itulah yang sedang kami rancangkan.

"Dia masih muda, anda dapat melihatnya berdasarkan prestasinya dan dia masih memiliki kontrak berbaki dua tahun.

"Dia sentiasa berkambang dan sentiasa mencipta sesuatu.

"Saya percaya masih terdapat banyak tahun lagi yang menantinya dan dalam beberapa bulan akan datang, kami akan mengadakan perbincangan dengannya supaya dia dapat terus kekal dengan Barcelona.

"Messi pemain yang setia dengan sebuah kelab.

"Ia melebihi daripada apa yang dilakukannya di atas padang.

"Hubungannya dengan Barca akan kekal selama-lamanya.

"Saya mengambil Pele sebagai contoh. Dia tidak pernah meninggalkan Santos.

"Kami mahu Messi sentiasa berada dengan Barca sama ada sebagai pemain atau mempunyai hubungan erat dengan kelab di mana dia bersara," katanya.

Messi dimasukkan sebagai pemain gantian untuk menyelamatkan Barca ketika mereka terikat 4-4 dengan Villarreal, kelmarin.

Keputusan seri itu menghidupkan peluang mereka untuk memburu kejuaraan 'treble' musim ini.

Barca -- berkelebihan lapan mata di puncak LaLiga -- akan berdepan Manchester United dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah selain turut akan menghadapi Valencia dalam final Copa del Rey.

Bartomeu menambah: "Messi mengubah deria Barca dengan cara dia mengekalkan kelab ini di tangga teratas (musim ini), memenangi kejuaraan utama dan cuba memenanginya setiap musim.

"Dia tahu akan kemampuan tubuhnya dan pada hari dia berasakan yang dia tidak mampu untuk menambah lagi, dia akan pergi.

"Kami perlu bersedia untuk menghadapi masa depan.

"Leo merupakan pemimpin kami, dia pemain terbaik dalam dunia bola sepak.

"Dia bermain untuk kami dan dia beraksi dengan amat hebat, namun kami sedar ia tidak akan kekal selamanya.

"Mungkin dalam tiga, empat atau lima tahun lagi, Leo Messi akan berkata: "Baiklah, saya mahu berhenti daripada bola sepak.'

"Jadi, kami sedang bersedia untuk menghadapi masa depan, selepas ketiadaan Leo, kerana kami masih mahu menjadi pasukan terbaik pada masa itu.

"Ia memerlukan usaha keras, pelaburan dan pengambilan risiko.

"Kami melabur untuk pemain muda di La Masia, namun kami turut membawa pemain lain daripada kelab luar.

"Kami perlu mengekalkan tahap itu dengan cemerlang," katanya.

Advertisement

Must Watch Video