Skip to main content

Bola Sepak

Howe, Rangnick, Wenger dan Southgate calon utama England

england-managers.jpg

Pengendali Bournemouth, Eddie Howe, menjadi calon utama untuk dinamakan selaku pengurus baru England di samping Arsene Wenger dan Gareth Southgate.

Jurulatih berusia 38 tahun itu disebut-sebut sebagai pengganti meskipun sebelum ini menolak cadangan tersebut sebelum perlantikan Sam Allardyce yang hanya bertahan selama 67 hari.

Pengarah Pembangunan Persatuan Bola Sepak England (FA), Dan Ashworth, merupakan peminat jurulatih muda itu yang dijangka bakal disenarai pendek selaku pilihan untuk menggantikan Sam Allardyce yang telah dipecat.

Jurulatih skuad B-21 England, Gareth Southgate, turut tersenarai susulan diberikan peluang mengendalikan skuad senior sebanyak empat perlawanan sebagai tempoh percubaan.

Ketua FA turut mahu mengadakan perbincangan dengan Arsene Wenger bagi melihat jika beliau berminat untuk mengambil alih sebaik kontraknya berakhir musim depan.

Bagaimanapun, Howe dilihat sebagai prospek utama -- seorang jurulatih muda, berbakat dan yang paling penting, seorang warga Britain.

Tambahan pula, Arsenal sebelum ini menyuarakan ketegasan mahu Wenger kekal bersama The Gunners untuk tempoh dua tahun lagi manakala Southgate dilihat sebagai komponen utama dalam membangunkan pemain muda Three Lions.

Howe turut mengakui dia berbesar hati dikaitkan dengan jawatan pengendali England, namun menegaskan dia komited bersama Bournemouth.

"Mereka belum menghubungi saya tetapi seperti tawaran lain yang mendatang, jawapan saya sama, saya sangat komited dengan Bournemouth," katanya.

"Menjadi pengurus England merupakan impian semua jurulatih tetapi saya telah memulakan projek yang baik di kelab ini, ditambah dengan kemasukan muka baharu, di sinilah masa depan saya.

"Saya tidak sampai hati meninggalkan kelab ini, mereka percayakan saya."

Sementara itu, bekas pengendali Schalke 04, Ralf Rangnick, turut dikaitkan dengan jawatan tersebut.

Menurut laporan Telegraph UK, FA bersedia mengadakan perbincangan dengan Rangnick buat kali kedua.

Difahamkan, Pengarah Teknikal FA, Dan Ashworth, dan Ketua Eksekutif, Martin Glenn, bersama Timbalan Presiden, David Gill, telah mengadakan perjumpaan dengan Rangnick selepas Roy Hodgson meletakkan jawatan.

Rangnick ketika ini memegang jawatan selaku pengarah sukan di kelab Bundesliga, Leipzig.

Advertisement

Must Watch Video