PIALA FA
Hilang dua awang import jejas prestasi TRW -- Kraljevic
Ketua jurulatih The Red Warriors (TRW), Marko Kraljevic, berkata faktor kehilangan dua pemain import menjejaskan rentak Kelantan sehingga tewas mudah 0-3 kepada Selangor dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Kekecewaan pengendali kelahiran Crotia itu mudah difahami kerana tanpa kapten yang masih cedera, Cassio De Jesus, benteng TRW hanya mampu bertahan selama sejam sebelum dirobek pemain tengah sensasi Merah Kuning, Mohd Faiz Nasir dan Syazwan Zainon.
Lebih malang, kehilangan sentuhan penyerang kelahiran Uruguay, Raul Taraggona, yang mengambil keputusan meninggalkan pasukan itu menyebabkan jentera serangan Kelantan longlai dan mudah dipatahkan benteng Gergasi Merah yang diketuai pemain import, Taylor Francis George.
Iklan
"Raul (Tarragona) sudah pergi meninggalkan pasukan. Cassio (De Jesus) pula masih cedera dan saya tidak pasti bila dia akan kembali menguatkan pasukan.
"Kami juga kehilangan pemain tengah kreatif, David (Rowley), yang beraksi cukup baik dalam dua atau tiga perlawanan sebelum ini.
"Maknanya, apabila anda kehilangan dua pemain import dan pemain tempatan yang konsisten, ia cukup memberi kesan kepada prestasi Kelantan," katanya.
Kraljevic juga mengesan kesilapan pemainnya yang terlalu banyak memberi ruang kepada pemain Selangor bergerak bebas, menjadi antara punca TRW rebah di laman sendiri.
“Selepas mengikat mereka tanpa jaringan dalam babak pertama, kami ada beberapa peluang dalam separuh masa kedua. Namun, pemain saya mulai takut untuk menerima bola dan melakukan hantaran.
“Mudah sahaja permainan ini. Apabila anda beri mereka ruang untuk bergerak bebas, tentu kami akan dihukum kerana Selangor memiliki tiga atau empat pemain yang pantas. Kami menerima hakikat kekalahan ini kerana Selangor sebuah pasukan yang berkualiti," katanya.
Dalam aksi berat sebelah malam tadi, dua jaringan Faiz dan sentuhan penyudah bekas pemain Kedah, Syazwan, dalam babak kedua sudah cukup untuk menyingkirkan TRW dan membawa naib juara tahun lalu itu ke pusingan ketiga dengan bergaya.
Must-Watch Video