Jurulatih sementara Sepanyol, Fernando Hierro, mengakui pasukannya bernasib baik berada di tangga teratas Kumpulan B selepas video bantuan pengadil (VAR) membantu juara Piala Dunia 2010 itu meraih keputusan seri 2-2 dengan Maghribi di Stadium Kaliningrad, awal pagi tadi.
Jaringan Iago Aspas dalam masa kecederaan pada awalnya dinafikan dengan ofsaid sebelum teknologi itu menterbalikkan keputusan dan memberikan Sepanyol gol penyamaan, sudah cukup untuk melihat La Roja menjuarai kumpulan selepas Portugal juga seri 1-1 dengan Iran dalam perlawanan yang berlangsung serentak.
Hierro, bekas pemain pertahanan untuk pasukan kebangsaan, berkata saingan kumpulan memberikan cabaran baik, dan Sepanyol mesti memperbaiki prestasi jika mereka mahu melepasi peringkat kalah mati selepas dua kali ketinggalan.
"Saya suka saingan kumpulan itu. Kami tidak pasti siapa yang berada di tempat pertama atau kedua sehingga minit terakhir. Saya harus mengakui kami bernasib baik kerana dapat menyudahkannya," katanya.
"Kami perlu menuntut diri kami sendiri. Ini bukan caranya. Kami tidak boleh membenarkan lawan mendapat banyak peluang. Sekiranya kami mahu mara ke tempat yang kami impikan, kami harus memperbetulkan beberapa kelemahan. Ada ruang untuk diperbaiki," katanya.
VAR menjadi topik utama dalam Piala Dunia tetapi Hierro berpuas hati bagaimana teknologi itu dilaksanakan setakat ini.
"Semua jurulatih dan semua pemain diarah bersetuju dengan apa yang dimaksudkan dengan VAR dan bagaimana ia berfungsi," katanya.
"Ia perlu digunakan dan mereka akan mencuba menggunakannya seadil yang mungkin. Kami memahami pengadil sedang menunggu VAR dan kami melakukan tugas kami, pemain tidak memberi tekanan."
Penulis Jemputan
Tue Jun 26 2018