Skip to main content

Bola Sepak

Hazard tidak cetus masalah -- pengurus Chelsea

hazard.jpg
Jurulatih Chelsea, Maurizio Sarri, tidak mengadakan perbincangan dengan Eden Hazard mengenai masa depan bintangnya itu sambil menegaskan tiada masalah yang timbul dengan pemain Belgium tersebut.

Masa depan Hazard menjadi subjek spekulasi sepanjang pra-musim ini susulan penampilan luar biasanya yang membawa Belgium ke separuh akhir Piala Dunia 2018, lalu terus dikaitkan akan ke Real Madrid.

Sebelum ini, Sarri yang tiba untuk menggantikan Antonio Conte sebagai pengurus di Stamford Bridge pada awal musim ini, berkata dia tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dengan pemain berusia 27 tahun itu yang akan diketepikan dalam aksi Perisai Komuniti menentang Manchester City di Wembley malam ini berikutan komitmennya dalam Piala Dunia di Russia. 

"Saya sudah bercakap dengannya, namun kami tidak bercakap mengenai perkara ini," kata Sarri ketika ditanya mengenai perancangan Hazard yang akan datang.

"Kami hanya bercakap mengenai 'bolehkah saya tiba pada Isnin dan bukan Ahad?'

"Buat masa ini, tiada masalah dengan Hazard."

Penjaga gol Chelsea dan rakan senegara Hazard, Thibaut Courtois, juga menjadi perpindahan berpotensi ke Madrid dan dalam masa sama, Sarri berminat untuk menambah muka baru ekoran kehadiran pemain tengah, Jorginho.

Bagaimanapun, bekas pengurus Napoli itu mahu mengelak daripada mencetuskan sebarang konfrontasi mengenai dasar perpindahan pemain dengan pihak atasan Chelsea yang menjadi punca kepada pemecatan Conte.

"Kedudukan terakhir Liga Perdana Inggeris memberitahu saya City memungut 100 mata, Chelsea 70 mata," katanya.

"Kami perlu cuba mengurangkan 30 mata dan saya hanya tahu satu cara: untuk berusaha.

"Tugas saya adalah untuk memperbaiki pemain saya. Saya akan cuba melakukannya, saya tidak fikir setiap masalah dapat diselesaikan dengan pasaran."
 

Advertisement

Must Watch Video