Skip to main content

Bola Sepak

Hazard mahu tambah jumlah gol untuk Real

edenhazard-cropped_ru8m9y3eextn1tuxttju2444k.jpg
Eden Hazard lega apabila akhirnya menjaringkan gol pertama buat Real Madrid dalam kemenangan 4-2 ke atas Granada.

Hazard menjaringkan gol sulung sejak tiba di Madrid menerusi perpindahan berjumlah EUR100 juta (RM459 juta) daripada Chelsea, Jun lalu dan turut mencipta bantuan jaringan tatkala anak buah Zinedine Zidane itu kini memiliki kelebihan empat mata di puncak liga.

Pemain Belgium itu teruja dapat meletakkan nama dalam senarai penjaring dan berharap dapat menambah jumlah gol buat gergasi LaLiga itu.

"Saya teruja dengan kemenangan. Apabila bermain, anda mahu menjaringkan gol tetapi apa yang penting adalah kemenangan. Kami masih di puncak liga, itu sasaran kami," katanya.

"Sentiasa sukar untuk mendapatkan gol pertama tetapi sebaik sahaja anda meraihnya, anda mempunyai keyakinan lebih tinggi untuk melakukan sepakan dan saya berharap dapat menyumbat lebih banyak gol untuk kelab hebat ini. Penting untuk saya melakukannya

"Ia satu kemenangan getir kerana Granada beraksi dengan baik, mereka pasukan kuat dan sebab itu mereka menduduki tangga kedua liga. Namun, kami memberikan segalanya sepanjang 90 minit untuk memenangi perlawanan.

"Sentiasa ada ruang untuk meningkat tetapi tiga mata telah diraih."

Karim Benzema, Luka Modric dan James Rodriguez turut menyumbat gol untuk Real yang melepaskan pendahuluan 3-0 kepada 3-2 sebelum mengesahkan kemenangan.

Pertahanan Los Blancos, Dani Carvajal, berkata pasukannya perlu menamatkan perlawanan dengan segera selepas kebangkitan itu.

"Kami perlu memperbaiki cara menamatkan perlawanan di laman sendiri. Jika kami terus begini, mata mungkin akan dicicirkan," katanya.

"Ia berlaku ketika berdepan Levante dan sekali lagi terjadi. Perasaan menang 3-0 dan bergelut bukan sesuatu yang bagus.

"Kami perlu lebih meyakinkan tetapi kami akan menuju tempoh rehat antarabangsa sebagai pendahulu liga. Kami tahu apa yang perlu dilakukan."
 

Advertisement

Must Watch Video