LIGA INGGERIS
Hazard mahu beraksi dalam UCL
Eden Hazard memberi bayangan akan mencari jalan keluar daripada Chelsea jika mereka gagal layak untuk beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Chelsea seri 1-1 dengan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) semalam untuk meletakkan The Blues di tangga keempat, mendahului dua mata ke atas Arsenal yang tewas 3-0 kepada Leicester City.
Skuad bimbingan Maurizio Sarri itu berkemungkinan kembali ke pentas Liga Juara-Juara andai menjuarai Liga Europa musim ini selepas melangkah ke separuh akhir berdepan Eintracht Frankfurt.
Iklan
Kontrak Hazard bersama Chelsea bakal berakhir tahun depan dan dia bercadang untuk menandatangani kontrak baru jika mereka beraksi dalam UCL.
"Chelsea terlebih dahulu," kata Hazard.
"Chelsea harus bermain dalam UCL setiap tahun kerana mereka adalah salah sebuah kelab terbaik dunia.
"Saya juga mahu tampil dalam saingan tersebut."
Chelsea bergelut ketika berdepan enam pasukan teratas EPL musim ini tetapi kesilapan David de Gea membenarkan Marcos Alonso menjaringkan gol untuk membantu The Blues meraih satu mata di Old Trafford.
"Kami seharusnya mempamerkan persembahan yang lebih baik. Kami hadir ke Old Trafford mahu mencari kemenangan.
"Seri bukan keputusan yang teruk buat kami tetapi Chelsea seharusnya meledak lebih daripada satu gol dalam perlawanan ini.
"Kami akan menghadapi dua lagi perlawanan, satu di laman sendiri dan satu lagi berkunjung ke tempat lawan, jadi kami akan berusaha untuk kekal dalam kelompok empat terbaik," katanya lagi.
Chelsea bakal mengharungi penghujung musim yang padat, dengan berkunjung ke Frankfurt untuk aksi separuh akhir pertama Liga Europa (UEL), Jumaat ini, sebelum berdepan Watford tiga hari berikutnya.
Must-Watch Video