Skip to main content

Bola Sepak

Hazard: Chelsea sudah menang trofi, Spurs belum

eden-hazard.jpg
Eden Hazard mengusik ketidakupayaan Tottenham Hotspur memenangi trofi ketika Chelsea sedang bersaing merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan skuad kendalian Mauricio Pochettino itu.

Spurs membuka perlawanan di gelanggang baru mereka, Stadium Tottenham Hotspur, dengan kemenangan 2-0 ke atas Crystal Palace semalam bagi menamatkan kemarau lima perlawanan tanpa kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris.

Pasukan London itu masih menduduki tangga ketiga liga dengan kelebihan satu mata di depan Arsenal dan Chelsea manakala Manchester United pula ketinggalan dua mata di tangga keenam selepas tewas 1-2 kepada Wolves, kelmarin.

Dengan hanya berbaki enam perlawanan -- Arsenal mempunyai satu perlawanan dalam tangan -- keempat-empat pasukan berkenaan masih terlibat dalam saingan peringkat Eropah.

Hazard, yang pernah menjulang dua kejuaraan Liga Perdana dengan Chelsea, memanfaatkan kesempatan itu untuk menyemarakkan persaingan tersebut dengan menyindir Spurs, yang gagal menterjemahkan perkembangan mereka kepada julangan trofi.

"Saya berasakan Tottenham dalam dua atau tiga tahun ini merupakan pasukan terbaik di England," kata Hazard, yang turut memenangi kejuaraan Liga Europa, Piala FA dan Piala EFL sepanjang berada di Stamford Bridge.

"Ia amat jelas dan saya tidak menyukainya.

"Kami adalah Chelsea dan merupakan seteru terbesar mereka dalam perlawanan setempat, namun kami perlu menerimanya.

"Mereka berkembang pesat dalam Liga Perdana dengan stadium baru dan pemain bertaraf tinggi.

"Namun, anda semua tahu yang Chelsea telah memenangi banyak trofi dan mereka tidak.

"Saya berharap ia akan berterusan," katanya.

Chelsea berdepan pretasi tidak menentu yang menimbulkan persoalan mengenai masa depan Maurizio Sarri selaku pengurus.

Bagaimanapun, kemenangan 3-0 ke atas Brighton and Hove Albion memberikan kemenangan berturut-turut buat The Blues dalam Liga Perdana.

Selepas melayani West Ham di Stamford Bridge awal pagi Selasa ini, Chelsea akan berkunjung ke laman Liverpool dan United bagi saingan liga.

Hazard, bagaimanapun, gembira untuk memanfaatkan kesempatan itu bagi merebut kedudukan empat teratas musim ini.

"Mereka tidak banyak berbicara tentang kedudukan Chelsea dalam kelompok empat teratas dan saya menggemarinya.

"Kami agak senyap di tangga keempat atau kelima dan hanya perlu bersedia bagi menghadapi perlawanan yang akan datang.

"Kami mahu menghadapinya dengan satu-satu perlawanan.

"Kami akan berdepan aksi sukar menentang Liverpool dan Manchester United, namun Chelsea adalah pasukan besar.

"Kami sukakan cabaran ini, jadi kami akan turun menentang pasukan itu dan mencuba untuk meraih kemenangan kerana pada akhirnya, kami mahu menjadi empat pasukan terbaik," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video