Skip to main content

Bola Sepak

Hazard belum tentukan masa depan

eden-hazard_.jpg
Eden Hazard mendedahkan dia belum pasti akan kekal di Chelsea ataupun sebaliknya selepas meledak jaringan kemenangan pasukannya untuk melangkah ke final Liga Europa (UEL).

Hazard menjaringkan sepakan penalti kemenangan selepas Chelsea seri 1-1 dengan Eintracht Frankfurt, dengan Kepa Arrizabalaga berjaya menafikan dua percubaan daripada Martin Hinteregger dan Goncalo Paciencia.

Aksi separuh akhir awal pagi tadi berkemungkinan adalah perlawanan terakhir Hazard di Stamford Bridge, dengan penyerang Belgium itu hampir mencapai persetujuan untuk menyertai Real Madrid.

Kontrak Hazard dengan The Blues akan berakhir tahun depan tetapi situasinya agak rumit apabila Chelsea digantung dalam dua jendela perpindahan, dengan kelab itu telah membuat rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan.

Chelsea tidak akan dapat membeli pengganti Hazard jika hukuman itu kekal dan pemain berusia 28 tahun itu dijangka akan berbincang mengenai kontraknya.

"Saya tidak memikirkannya. Saya hanya berfikir untuk memenangi sesuatu bersama kelab," kata Hazard.

"Jika ia perlawanan terakhir saya, saya akan mencuba yang terbaik. Buat masa ini, saya hanya fikirkan jalan bagi melakar kemenangan untuk Chelsea."

Chelsea gagal mempamerkan aksi terbaik dalam kedua-dua perlawanan berdepan Eintracht tetapi berjuang berhabis-habisan untuk sekali lagi ke final musim ini selepas tewas dalam Piala EFL kepada Manchester City di Wembley.

"Sukar tetapi mengetahui kami mampu ke final, ia melonjakkan usaha kami memastikan sasaran pasukan.

"Kami telah bermain dengan baik tetapi aksi separuh akhir UEL amat sukar. Kami meraih kemenangna menerusi penentuan penalti dan kini akan ke Baku untuk bergelar juara," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video