Skip to main content

Bola Sepak

Hazard akui belum sekelas dengan Messi, Ronaldo

hazard-270517.jpg
Tonggak utama Chelsea, Eden Hazard, tidak menghiraukan tanggapan ranking dalam barisan pemain terbaik dunia, namun percaya pengaruh kepimpinan yang lebih besar akan meletakkan dia menghampiri Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Hazard, 26, dianggap salah seorang pemain terbaik dunia biarpun jelas sekali masih tercicir di belakang Messi dan Ronaldo.

Tatkala pemain Belgium itu kurang berminat dengan perbincangan sebegini, dia mengakui Messi dan Ronaldo mendahului carta itu. 

"Semua orang sentiasa bercakap mengenainya tetapi saya tidak ambil pusing. Saya cuba sehabis yang baik," kata Hazard kepada akhbar UK. 

"Saya bukannya berseorangan dalam dunia ini -- terdapat ramai pemain yang bagus. Saya tidak tahu sama ada saya berada dalam kalangan lima, 10, 20 terbaik. Ia bukan sasaran saya. Saya hanya mahu menikmati permainan bola sepak. 

"Pemain seperti Ronaldo dan Messi mengetuainya. Mereka adalah pemain yang sentiasa mahukan prestasi yang lebih baik, setiap hari. Sebab itulah mereka konsisten dalam tempoh 10 tahun. 

"Kita semua perlu membuktikannya setiap hari, namun saya tidak terlalu memikirkannya. Saya hanya memberi tumpuan ke atas diri sendiri, bola sepak, di atas padang dan dalam sesi latihan."

Dengan John Terry bakal meninggalkan  Stamford Bridge, hujung musim ini, Hazard berkata generasi Chelsea yang seterusnya berpeluang untuk mengambil alih. 

"Tempoh 10 tahun di Chelsea adalah mengagumkan. 

"Mereka memenangi banyak trofi, kini ia seperti generasi baru. Frank Lampard, Didier Drogba, Ashley Cole sudah berlalu dan kini John Terry pula. 

"Kami mempunyai beberapa pemimpin -- di atas padang, saya cuba menjadi salah seorang daripadanya. Semua pemain sudah bersedia dan berada di tahap 100 peratus," katanya menjelang sepak mula final Piala FA menentang Arsenal, tengah malam ini. 

 

Advertisement

Must Watch Video