Pemain tengah Bayer Leverkusen, Kai Havertz, menegaskan dia sendiri yang akan memutuskan hala tujunya selepas dikaitkan dengan Real Madrid dan Barcelona.
Pemain berusia 20 tahun itu menikmati kempen yang berjaya musim lalu dengan menyumbang 17 gol dalam kancah Bundesliga ketika membantu Leverkusen layak ke Liga Juara-Juara (UCL).
Havertz meledak gol antarabangsa pertamanya buat Jerman dalam perlawanan dengan Argentina yang berkesudahan 2-2, kelmarin dan laporan di Sepanyol mencadangkan seteru LaLiga, Madrid dan Barcelona, berminat dengan sentuhan pemain itu.
Walaupun terbuka untuk menerima nasihat mengenai masa depannya, termasuk daripada pengurus pasukan kebangsaan, Joachim Low, Havertz -- yang mempunyai kontrak di BayArena sehingga 2022 -- akan membuat pilihan yang tepat buat dirinya sendiri.
Bercakap dalam sidang akhbar Jerman awal pagi tadi, dia berkata: "Saya mendapat nasihat daripada ramai orang tetapi pada akhirnya, ia terserah kepada saya.
"Saya akan menerima apa juga nasihat daripada Low memandangkan dia berpengalaman luas -- ia satu tindakan yang tidak bijak untuk tidak mendengarkannya."
Ogos lalu, Pengarah Sukan Bayer Leverkusen, Rudi Voller, mengesahkan bahawa Bayern Munich pernah menunjukkan minat terhadap Havertz, yang dijangka bersiap untuk menentang Estonia dalam perlawanan kelayakan Euro 2020, awal pagi Isnin ini.
Penulis Jemputan
Sat Oct 12 2019