LIGA PERDANA MSIA
Hasil jualan tiket bayar gaji pemain Kelantan
Langkah segera yang dilakukan Ahli Lembaga Pengarah Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd yang baru dilantik, Syed Abdullah Syed Mahmood, adalah memastikan hasil kutipan jualan tiket perlawanan digunakan untuk membayar gaji pemain The Red Warriors (TRW).
Syed Abdullah yang juga ketua penyokong Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkata pihaknya akan memastikan kebajikan pemain sentiasa terbela, terutama apabila melibatkan pembayaran gaji mereka.
"Kami merayu kepada penyokong supaya hadir beramai-ramai untuk menyaksikan perlawanan di antara Kelantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di gelanggang sendiri, malam esok.
Iklan
"Bawa RM15 seorang untuk beli tiket dan kami akan bayar gaji pemain. Saya tidak minta dengan jutawan atau menteri tetapi saya minta kepada keseluruhan rakyat Kelantan. Ini sahaja bantuan yang KRW boleh buat pada masa ini.
“Duit kutipan tiket tidak akan pergi ke mana-mana. Saya dah beritahu Presiden KAFA, Bibi Ramjani (Ilias Khan), dan timbalan, Datuk Seri Afandi (Hamzah), bahawa duit ini kepunyaan pemain.
"KAFA ambil sedikit untuk bayar sewa stadium dan kos pengurusan lain, selebihnya kami beri kepada pemain,” katanya selepas mengadakan program bual bicara Facebook secara langsung, malam tadi.
Syed Abdullah menjelaskan keutamaan syarikatnya sekarang adalah menjaga kebajikan pemain yang dianggap sebagai bintang masa depan bola sepak Kelantan selepas MyInspiration Sdn Bhd membatalkan perjanjian dengan KAFA baru-baru ini.
"Untuk tahun ini, kita sekadar membantu KAFA, bukan ambil alih (kerana) kita bercadang berbuat demikian pada tahun 2020. Sekarang, tidak boleh ambil alih lagi kerana baru terima jawatan dan selesai berbincang dengan Datuk Seri Afandi.
“Saya harap jangan sesiapa buat onar kepada pemain, tidak kira presiden atau exco KAFA sekali pun kerana mereka akan berdepan dengan saya. Mereka (pemain) umpama anak saya dan saya akan terus jaga kebajikan mereka,” katanya.
Must-Watch Video