LIGA INGGERIS
Harry Maguire terima ancaman bom
Polis Cheshire terpaksa menggeledah rumah Harry Maguire selepas kapten Manchester United itu menerima ancaman bom.
Pihak polis melakukan pemeriksaan menyeluruh ka atas kediaman pertahanan tengah England itu selepas dia dilaporkan menerima ancaman berkenaan melalui e-mel.
Jurucakap Maguire berkata: "Dalam 24 jam terakhir, Harry menerima satu ancaman yang serius terhadap kediaman keluarganya. Dia telah melaporkan perkara itu kepada polis yang kini sedang menyiasat perkara itu.
Iklan
"Keselamatan keluarganya dan masyarakat sekelilingnya jelas menjadi keutamaan Harry.
"Dia akan terus bersedia bagi menghadapi perlawanan (menentang Arsenal) hujung minggu ini secara normal dan tidak akan memberikan komen lanjut buat masa ini."
Maguire menjadi sasaran pada minggu di mana The Red Devils tewas 0-4 kepada Liverpool dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pemain berusia 29 tahun itu melalui kempen sukar musim ini dan diejek oleh penyokong England dalam aksi persahabatan menentang Ivory Coast bulan lalu.
United malam tadi mengesahkan bahawa ketua jurulatih Ajax, Eric Ten Hag, akan mengambil alih tugas selaku pengurus pasukan itu selepas penghujung musim ini.
Must-Watch Video