Skip to main content

Bola Sepak

Harimau Malaya waspada Kemboja berwajah baru

tan-cheng-hoe-harimau-malaya.jpg
Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengingatkan anak buahnya bahawa mereka akan berdepan skuad Kemboja yang berbeza setelah lawan mendapat sentuhan bekas bintang bola sepak Jepun, Keisuke Honda, menjelang pertemuan kedua-dua pasukan di Phnom Penh, esok.

Skuad negara mempunyai rekod cemerlang dalam pertemuan menentang Kemboja sejak dahulu lagi.

Malaysia menang 11 daripada 14 perlawanan, dengan pertemuan terakhir kedua-dua pasukan dalam Piala Suzuki AFF 2016 juga memihak Harimau Malaya menerusi kemenangan 3-2.

Namun, ujian getir menanti skuad negara kali ini apabila berdepan skuad Kemboja yang dibimbing Honda untuk ujian sulungnya bersama negara itu.

"Jurulatih baru, Keisuke Honda, menjadi pembakar semangat skuad Kemboja. 

"Ada beberapa pemain Kemboja yang beraksi di negara kita dan sedikit-sebanyak mereka boleh menyalurkan maklumat mengenai skuad Malaysia," kata Cheng Hoe. 

Tewas 0-2 menentang Taiwan pada Jumaat lalu, Cheng Hoe dijangka melakukan rombakan dalam kesebelasan utamanya, terutama di jentera serangan.

Penyerang Nakhon Ratchasima, Shahrel Fikri Md Fauzi, dijangka ditagih untuk mengetuai posisi itu bagi misi merobek gawang lawan.

"Saya akan lihat dan kaji keadaan semasa pemain terlebih dahulu. 

"Kami mempunyai tempoh sehari lagi untuk melakukan persiapan.

"Saya akan memberi peluang kepada pemain-pemain yang tidak beraksi menentang Taiwan tempoh hari. 

"Yang penting, saya nak pemain fokus untuk aksi malam esok selain bersedia daripada segi mental dan fizikal," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video