Skip to main content

Bola Sepak

Harimau Kumbang belum putus asa

manzoor-azwira.jpg
Pulau Pinang belum berhasrat untuk mengibarkan bendera putih bagi mengiringi Sabah ke Liga Super musim depan walaupun disaingi hebat tiga pasukan lain.

Ketua jurulatihnya, Manzoor Azwira Abdul Hamid, berkata Pulau Pinang masih berpeluang meloloskan diri dengan syarat memenangi baki dua perlawanan akan datang.

Bekas pemain Perlis itu turut berharap tiga pencabar lain, iaitu UiTM FC, Negeri Sembilan dan PDRM, keciciran mata dalam saingan yang kian ke penghujungnya itu.

Pulau Pinang kini di tangga keenam, berkongsi 24 mata dengan PDRM, satu mata di belakang Negeri Sembilan manakala UiTM FC di kedudukan ketiga dengan 28 mata.

"Indeks prestasi utama (KPI) adalah untuk layak ke Piala Malaysia, namun saya belum menutup peluang ke Liga Super walaupun saingan cukup sengit.

"Kami ada dua aksi 'final' bertemu Sarawak, minggu depan serta berkunjung ke PDRM dan kedua-duanya adalah misi wajib menang," katanya.

Sementara itu, Manzoor berpuas hati dengan satu mata yang dikutip selepas seri 0-0 dengan Terengganu FC II (TFC II) di tempat lawan, malam tadi.

Menurutnya, Pulau Pinang bermula agak gugup dalam babak pertama sebelum kembali mendapatkan rentak dan menguasai 45 minit kedua.

Malah, pasukan bimbingannya hampir mengejutkan TFC II menerusi Casagrande (m-69) serta voli menarik Julian Bottaro (m-77) yang dinafikan penjaga gol tuan rumah.

"Pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik dengan deretan peluang dicipta.

"Kredit kepada pasukan lawan yang berjaya mengekang asakan Pulau Pinang," katanya
 

Advertisement

Must Watch Video