Skip to main content

Bola Sepak

Hanya pemain Manchester United yang boleh menilai Mourinho -- Guardiola

mourinho-guardiola.jpg
Hanya pemain Manchester United yang boleh menilai prestasi Jose Mourinho, kata Pep Guardiola yang menambah bahawa dia tidak pernah meragui kemampuan pesaingnya itu.

Mourinho berdepan tekanan hebat berikutan kekalahan berturut-turut kepada Brighton & Hove Albion serta Tottenham manakala sidang media menyimpulkan bahawa dia sedang tertekan. 

Penampilan terbaru Mourinho di hadapan media semalam memperlihatkannya melabel dirinya sebagai "salah seorang pengurus utama di dunia" selain memetik ahli falsafah, Georg Wilhelm Friedrich Hegel.

Pengurus Portugis berkenaan telah memenangi Liga Europa dan Piala Liga Inggeris (EFL) dalam tempoh dua tahun di Old Trafford tetapi belum mencapai mahkota liga seperti kejayaannya di Porto, Chelsea, Inter dan Real Madrid.

Bagaimanapun, pengurus Manchester City, Guardiola, menegaskan bahawa keupayaan Mourinho tidak boleh dipersoalkan dan ia memerlukan lebih daripada sekadar trofi untuk diangkat sebagai pengurus yang baik.

"Sudah tentu kami dihakimi di atas gelaran yang kami dapati. Jika kami mempunyai gelaran untuk diburu, maka kami ada kerja," katanya dalam sidang akhbar.

"Bagaimanapun, saya cuba untuk tidak menghakimi pengurus lain. Sejarah dan apa yang dilakukan Jose di semua tempat yang pernah ditujuinya... saya mengaguminya. 

"Tiada keraguan tentang kualitinya, saya tidak pernah meraguinya pada masa lalu dan sekarang.

"Tetapi, ia bukan sekadar mengenai gelaran. Saya telah memenangi (gelaran) kerana saya memenanginya bersama kelab-kelab yang menakjubkan dan pemain yang hebat. Jika itu tidak berlaku, saya tidak akan memenangi gelaran.

"Terdapat ramai pengurus hebat yang tidak memenangi gelaran. Mereka juga sangat bagus.

"Ramai pengurus yang hebat tidak perlu memenangi trofi kerana pemain handalan dan kelab yang bagus akan kekal dan menyokong anda, bersabarlah.

"Kadang-kadang, pengurus tidak dapat mengawalnya tetapi itu tidak bermakna mereka tidak bagus."

Mourinho menuntut penghormatan daripada wartawan selepas tewas 0-3 kepada Spurs di tempat sendiri, Selasa lalu, dan Guardiola bersimpati dengan Mourinho sambil mengatakan media tidak tahu keseluruhan gambaran itu.

"Setiap pengurus (melakukan) apa yang dia percaya, apa yang dia suka untuk cuba mendapatkan hasil dengan gaya sendiri dan cara dia melatih," kata Guardiola.

"Tetapi, saya tidak mahu bercakap mengenai orang lain, saya akan bercakap untuk diri sendiri. Kami dihakimi menerusi hasil yang kami dapat.

"Hanya pemain yang tahu dengan tepat mengenai anda sebagai seorang pengurus kerana mereka melihat anda setiap hari dan mereka mempunyai maklumat lebih banyak daripada orang lain di dunia ini berbanding peminat, media dan orang ramai. 

"Hanya pemain yang tahu siapa kami sebenarnya."

City akan menghadapi Newcastle United hari ini sebelum United membuat kunjungan ke Burnley, esok. 
 

Advertisement

Must Watch Video