LIGA SUPER MSIA
Hanya kemenangan mampu hilangkan penat Pahang -- Davies
Hanya kemenangan mampu menghilangkan penat pemain Pahang, kata kapten pasukan, Matthew Davies, yang mahu mengakhiri tiga aksi di laman lawan dengan kemenangan sebelum pulang ke Kuantan.
Melewati tiga aksi di laman lawan dalam tempoh seminggu, Davies mengakui ia situasi paling memenatkan menjelang pertemuan dengan Perak dalam saingan Liga Super di Ipoh, malam ini.
Bagaimanapiun, ia tidak merencatkan hasrat Pahang untuk meneruskan momentum kemenangan selepas menjadikan PKNS FC dan UKM FC sebagai mangsa Tok Gajah dalam dua perlawanan sebelum ini.
Iklan
"Ia bukan mudah memandangkan ia perlawanan ketiga dalam tempoh enam hari dan kesemuanya di laman lawan.
"Saya berasakan kami terlalu penat dalam perlawanan lalu dan kami memerlukan sesuatu yang istimewa dalam perlawanan malam ini.
"Kami perlu mendapatkan keputusan yang baik daripada pasukan yang baik," katanya.
Pahang masih belum tewas sepanjang musim ini dan ia adalah petanda yang cukup jelas bahawa pasukan itu sedang meneguhkan keserasian.
Tegas Davies, Perak mampu untuk membuatkan Pahang berputih mata andai pasukannya mengambil mudah skuad kendalian Mehmet Durakovic itu.
"Keserasian kami semakin baik daripada perlawanan ke perlawanan.
"Komunikasi dan persefahaman setiap pemain juga semakin baik.
"Kami sudah melakukannya dengan baik setakat ini, namun ia masih boleh dipertingkatkan," tambahnya.
Must-Watch Video