Skip to main content

Bola Sepak

Hamidin mahu Kim Swee sedia awal

hamidin.jpg
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, berharap pengendali skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee, mempersiapkan strategi lebih awal menjelang kelayakan Kejohanan AFC B-23 Mac tahun depan tanpa perlu gusar mengenai isu pelepasan pemain pada saat-saat akhir.

Hamidin menyedari situasi yang sering dihadapi skuad kebangsaan apabila sukar mengumpulkan kesemua pemain lebih awal ekoran tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing.

Jelas Hamidin, itu semua tidak lagi boleh dijadikan alasan tatkala semua pihak perlu memahami keperluan  satu sama lain dengan lebih baik tanpa membebankan mana-mana pasukan.

Namun, beliau bakal berjumpa dengan setiap persatuan selepas ini bagi membincangkan perkara itu memandangkan kelayakan Kejohanan AFC B-23 amat penting sebelum ke pusingan akhir pada 2020, dengan Thailand bakal menjadi tuan rumah untuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Pihak jurulatih B-23, Datuk Ong Kim Swee, dan FAM perlu bijak untuk memastikan mereka memenuhi jadual kami. 

"Saya akan mengadakan perjumpaan dengan semua presiden pasukan tempatan untuk mendapatkan maklumat. 

"Kedua, saya sedang meneliti proses undang-undang agar mereka mematuhinya. Tetapi, kami juga prihatin bahawa pasukan kelab dan negeri kerana merekalah yang melahirkan pemain kebangsaan. 

"Jadi, akan ada situasi menang-menang," katanya yang ditemui dalam majlis program jangka masa panjang komuniti bersama FAM dan Zurich Malaysia, hari ini.

Hamidin turut percaya 24 pemain yang dipilih pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bagi dua aksi persahabatan dengan menegaskan skuad terbaik akan dibentuk menjelang Piala Suzuki AFF 2018, November depan.

"Persiapan setakat ini berjalan dengan baik, Cheng Hoe sudah tahu mengenal pasti perancangannya. 

"Cuma kami perlu memastikan situasi kecederaan. 

"Tetapi, saya boleh katakan barisan yang akan menggalas tanggungjawab dalam Piala AFF adalah pasukan yang kuat," katanya lagi.  
 

Advertisement

Must Watch Video