Skip to main content

Bola Sepak

Hamidin lepas jawatan naib presiden AFF

datuk-hamidin-mohd-amin.jpg
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, melepaskan jawatan naib presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) bagi penggal 2019-2023 yang baru dimenanginya bulan lalu.

FAM dalam satu kenyataan hari ini berkata keputusan itu diambil Hamidin sehari selepas pemilihannya sebagai anggota jawatankuasa eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2019-2023, Sabtu lalu, melalui surat yang dikirim kepada Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth.

"Atas dasar menghormati semangat perpaduan dalam kalangan anggota gabungan AFF, saya dengan ini memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai naib presiden AFF, berkuat kuasa serta-merta. 

“Susulan perbincangan dengan Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, dan Jeneral Sameth, keputusan diambil ini bukan sahaja membolehkan saya lebih fokus kepada tanggungjawab saya sebagai anggota exco AFC, malah ia membuka laluan kepada rakan-rakan negara jiran untuk menyumbang tenaga sebagai naib presiden AFF,” kata Hamidin dalam kenyataan itu.

Dalam Kongress AFF di Siem Reap, Kemboja, 17 Mac lalu, Hamidin bersama Datuk Seri Zaw Zaw dari Myanmar dan Datuk Seri Francisco Kalbuadi Lay dari Timor Leste memenangi tiga kerusi naib presiden AFF tanpa bertanding.

AFF kini diterajui Sameth dari Kemboja yang menggantikan Sultan Ahmad Shah yang menolak pencalonan atas sebab kesihatan. 

Sameth menang tanpa bertanding berikutan penarikan diri Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video