Skip to main content

Bola Sepak

Hakimi janji ikat Faiz

hakimi-abdullah.jpg
Pemain tengah The Red Warriors (TRW), Hakimi Abdullah, berjanji akan menyekat gerakan pemain tengah Selangor yang kian mencuri tumpuan, Faiz Nasir, dalam aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Faiz, yang menjadi bualan hangat selepas meledak jaringan cantik ketika membantu Malaysia mengalahkan Afghanistan 2-1 dalam Piala Airmarine bulan lalu, turut menjaringkan gol kemenangan skuad The Red Giants itu ketika menewaskan Terengganu FC 1-0, Jumaat lalu.

"Dia (Faiz) sedang menikmati aksi terbaiknya selepas menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan dan Selangor.

"Kami akan memberikan lebih tumpuan terhadap gerakan yang akan dilakukannya dan saya secara peribadi akan berusaha lebih keras untuk menyekat jentera tengah skuad Merah Kuning itu daripada menguasai bola," katanya.

Hakimi, yang juga kapten skuad Piala Belia Kelantan musim lalu, mengakui semakin serasi dengan taktikal yang diterapkan pengendali TRW, Marko Karljevic, dan berharap dapat terus diberikan peluang untuk beraksi menentang skuad bimbingan B. Sathianathan itu.

"Saya cukup teruja apabila terus diberikan peluang oleh jurulatih (Kraljevic) untuk beraksi dan berjanji akan melakukan yang terbaik bagi membantu pasukan ini mara ke peringkat seterusnya," ujarnya.

Ditanya ketiadaan penyerang import kelahiran Uruguay, Raul Andres Tarragona, yang mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan, Hakimi yakin pemain lain mampu mengisi kekosongan itu dan ia sama sekali tidak akan menjejaskan perancangan jurulatih.

"Dia (Tarragona) sudah buat keputusan dan kami perlu menghormatinya. 

"Dia sudah menjaringkan gol pertamanya dalam liga dan kami akan turun menentang Selangor tanpa kelibatnya.

"Jurulatih pasti mempunyai strategi tersendiri dan sesiapapun (penyerang) yang diturunkan pasti memikul tanggungjawab berat untuk memburu jaringan," katanya.

Kredit Foto: KRW Official

Advertisement

Must Watch Video