Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Hafizul Hakim tebus maruah

hafizul-hakim-khairul-nizam-jothy.jpg
"Panas setahun terhapus dek hujan sehari." Pepatah itu menepati situasi penjaga gol utama Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, selepas membantu The Bos Gaurus mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Selepas dipersalahkan berikutan kekalahan 1-3 di tangan Pahang dalam perlawanan separuh akhir pertama minggu lalu, dia dan rakan-rakanya menebus kekecewaan dengan kemenangan 3-0 di Stadium Perak malam tadi untuk mara ke final dengan agregat 4-3.

Malah, penjaga gawang kebangsaan itu mencuci arang yang terconteng di mukanya di Kuantan dengan memastikan pintu golnya tidak dibolosi kali ini.

Hafizul Hakim dikecam hebat berikutan kegagalannya menyelamatkan bola sepakan percuma Herold Goulon dari tengah padang pada masa kecederaan di Stadium Darul Makmur.

Berikutan itu, jaringan itu dicadangkan untuk Anugerah Puskas oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Pemain itu gagal menahan emosinya apabila kelihatan menekup muka menangisi kejayaan Perak. Dua rakan sepasukan, Nasir Basharuddin dan Khairul Amri Jamaluddin, turut meluru ke arahnya sebaik wisel penamat dibunyikan.

"Alhamdulillah kami berjaya. Bukan mudah untuk menewaskan Pahang. Mereka pasukan yang bagus.

"Rezeki kami. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua rakan sepasukan yang telah bekerja keras untuk menghasilkan kemenangan ini," katanya.

Penjaga gol itu kini tidak kisah sama ada dia akan diturunkan atau tidak dalam perlawanan akhir, 27 Julai ini.

Advertisement

Must Watch Video