BOLA SEPAK
Hadin tekad manfaat kesempatan
Pemain sayap negara, Hadin Azman, enggan namanya tercicir buat kali kedua apabila bertekad menambat hati pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Ketua pasukan Felda United itu antara muka baru yang membarisi skuad Harimau Malaya tahun ini selain Faiz Nasir, Dominic Tan dan Nor Azam Azih.
Dia membuat kemunculan dalam kejohanan empat negara, Piala Airmarine, Mac lalu selepas menyerlah bersama kelabnya.
Iklan
Namun, dia terlepas untuk mewakili negara dalam aksi playoff kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asia China 2023 bertemu Timor Leste, Jun lalu, ekoran kecederaan.
"Saya mengharapkan untuk berikan aksi terbaik demi Malaysia. Alhamdulillah sekali lagi saya terpilih.
"Ketika bertemu Timor Leste, saya ditimpa kecederaan, jadi saya harap (kali ini) dapat memenangi hati jurulatih untuk meraih tempat dalam kesebelasan utama," katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu, bagaimanapun, berdepan persaingan sengit untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama berdepan Jordan.
Selain Akhyar Rashid dan Safawi Rasid, Hadin juga perlu bersaing dengan muka baru, J. Partiban, untuk membuktikan kemampuannya di atas padang.
"Peluang sama rata buat semua pemain. Apa pun di atas padang, saya perlu tunjukkan aksi terbaik," tambahnya.
Jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, akan menggugurkan empat pemain selepas aksi persahabatan itu untuk membentuk skuad akhir 23 pemain yang akan ke Jakarta menjelang pertemuan dengan Indonesia , Khamis depan.
Must-Watch Video