Skip to main content

Bola Sepak

Habuan menanti Tambadau jika muncul juara

sabah-peter.jpg
Habuan menanti Sabah sekiranya mereka berjaya menamatkan kemarau 23 tahun tanpa trofi dengan menjuarai Liga Perdana musim ini. 

Bagaimanapun, pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, belum mahu mendedahkan bentuk ganjaran yang bakal diberikan, sebaliknya mahu skuad kendalian Jelius Ating itu terus fokus bagi menyelesaikan baki empat perlawanan dengan keputusan baik. 

"Sabah di landasan baik untuk muncul sebagai juara, kami akan menghadapi dua aksi di gelanggang lawan, iaitu Johor Darul Ta'zim II (JDT II), seterusnya bertemu UiTM FC, Selasa depan, dan kami sangat berharap dalam aksi terakhir di Stadium Likas, kami sudah boleh dinobatkan sebagai juara. 

"Mudah-mudahan, jika Sabah menjadi juara, kami akan memikirkan ganjaran yang akan diberikan kepada pasukan dan saya percaya Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) akan mengumumkan sesuatu nanti.

"Bagaimanapun, itu bukanlah perkara utama ketika ini. Kami tidak mahu persiapan kami terjejas kerana terlalu memikirkannya (ganjaran), Apa yang penting, mereka terus fokus, sudah begitu lama Sabah tidak memenangi sebarang piala, ini adalah peluang terbaik kami," katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. 

Sementara itu, Peter berkata pasukan Sabah kini berada di tahap terbaik untuk memburu kejuaraan musim ini dan beliau juga setakat ini gembira dengan prestasi yang ditunjukkan mereka. 

"Sebelum ini kami boleh dikatakan sebagai pasukan 'underdog' tetapi sekarang kami telah membuktikan betapa Tambadau juga adalah pesaing utama kejuaraan musim ini," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Peter berkata satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) akan diadakan pada 16 Julai ini bagi memutuskan tarikh kongres persatuan akan datang. 

"Dalam EGM itu nanti juga, kami akan membincangkan beberapa perkara penting, termasuk pindaan terhadap beberapa perlembagaan untuk mengemas kini serta memantapkan lagi SAFA," katanya. 

Dalam pada itu, Peter turut mengumumkan akan bertanding jawatan presiden dalam kongres akan datang, namun ia terpulang kepada wakil ahli gabungan untuk menentukannya.

"Jika ada pertandingan jawatan presiden dan juga jawatan-jawatan lain, kami akan adakan secara terbuka.

"Ya saya akan bertanding (jawatan presiden SAFA), tetapi bagi saya jawatan itu tidak penting, apa yang penting adalah pengurusan yang baik," katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video