Skip to main content

Bola Sepak

Haaland sarung jersi nombor sembilan

haaland.jpg
Erling Haaland sah akan memakai jersi nombor sembilan Manchester City untuk mengambil alih peranan Gabriel Jesus selepas pemain Brazil itu menyertai Arsenal.

Bekas tonggak Borussia Dortmund itu sememangnya sudah dijangka akan mengetuai jentera serangan City musim depan dan kini dia mempunyai nombor simbolik untuk menggalas tanggungjawab berkenaan. 

Pemain yang bakal berusia 22 tahun pada 21 Julai depan itu memilih City yang mengetepikan Liverpool untuk merangkul kejuaraan pada hari terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu.

Terdapat alasan yang kukuh untuk melihat pemain Norway itu memenuhi harapan tinggi selepas menjaringkan 86 gol dalam 89 penampilan sepanjang dua setengah tahun dalam Bundesliga, dengan hanya Robert Lewandowski (123 dalam 108 perlawanan) dan Kylian Mbappe (93 dalam 111 perlawanan) daripada lima liga utama Eropah yang menjaringkan lebih banyak gol berbandingnya sepanjang tempoh tersebut. 

 

Musim lalu, Haaland meledak 29 gol dalam 30 perlawanan dengan purata satu gol dalam setiap 3.6 percubaan apabila menyempurnakan 65.8 peratus daripada peluang terhidang. 

City mara ke peringkat separuh akhir Piala FA dan Liga Juara-Juara musim lalu selain mempertahankan EPL apabila mengharungi sebahagian besar musim lalu tanpa penyerang tulen seperti Haaland. 

Haaland akan diperkenalkan sebagai pemain City secara rasmi pada hari ini termasuk seorang lagi penggempur baru daripada River Plate, Julian Alvarez, dan bekas pemain tengah Leeds United, Kalvin Phillips.


 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video