Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola sahkan De Bruyne digugur kerana taktikal

de-bruyne.jpg
Pep Guardiola mengesahkan bahawa dia tidak menyenaraikan Kevin De Bruyne dalam skuad utama Manchester City dalam kekalahan kepada Tottenham awal pagi tadi atas sebab-sebab taktikal.

De Bruyne muncul dari bangku simpanan di Stadium Tottenham Hotspur itu pada minit ke-89 dan tidak berpeluang untuk mencetuskan inspirasi buat City apabila tewas 0-1 dalam perlawanan pertama suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) itu. 

Guardiola memilih Ilkay Gundogan dan Fernandinho untuk memberi sokongan kepada David Silva di bahagian tengah dengan City gagal mencipta percubaan tepat sehingga minit ke-47.

Jaringan Son Heung-min buat Spurs pada minit ke-78 menjadi pemisah selain sepakan penalti Sergio Aguero dalam babak pertama gagal disempurnakan. 

Pengurus City, Guardiola, menegaskan pasukannya masih beraksi dengan baik sambil menjelaskan sebab dia mengetepikan De Bruyne adalah kerana ingin melebihkan aspek bertahan. 

"Saya memutuskan untuk meletakkan dua pemain tengah agar dapat mengukuhkan bahagian tersebut," katanya dalam sidang akhbar. "Saya memutuskan untuk taktikal berlainan, saya tahu ia sukar baginya (De Bruyne)."

Mengenai keputusan perlawanan itu, beliau mengulas: "Kini kami sudah tahu tentang apa yang perlu dilakukan. Saya berasa perlawanan tadi agak baik. Kami menguasai mereka dan menjelmakan beberapa situasi berkualiti.

"Dalam pertandingan peringkat tinggi, anda perlu berdepan situasi seperti ini. Kami mempunyai pilihan dan peluang lain lagi, itu yang penting. 

"Mereka memiliki beberapa peluang dalam serangan balas tetapi kami mengawal permainan dan bermain dengan cukup bagus.

"Jika kami tidak dapat mencapai perlawanan akhir, ini adalah kerana persaingan ini mencabar. Itulah situasinya. 

"Apabila kami tidak beraksi baik, saya merupakan indvidu yang mengatakan bahawa kami tidak bermain baik tetapi saya tidak mempunyai perasaan seperti itu."

Bernardo Silva juga dipinggirkan setelah ditimpa masalah dalam latihan, namun Guardiola berharap pemain itu dapat kembali dalam pertemuan timbal balik. 

"Pastinya akan berlakunya kecederaan dan masalah, saya harap Bernardo akan cergas minggu depan," katanya.

Guardiola menyeru peminat City untuk memberikan sokongan di Stadium Etihad bagi mencetuskan rasa gentar Spurs tatkala beliau berusaha untuk menghidupkan peluang City meraih empat gelaran. 

"Kami langsung tidak berpeluang untuk membuat persediaan di padang latihan walaupun sehari sedangkan mereka mempunyai tempoh enam hari," katanya.

"Mudah-mudahan, penyokong kami boleh memberikan sorakan dalam setiap minit. Diharapkan Etihad akan dipenuhi penyokong sendiri. 

"Kami tahu apa yang perlu dilakukan: menjaringkan gol, bermain sebaik mungkin, kami akan cuba."

Advertisement

Must Watch Video