Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola puji keamatan Jesus

gabriel-jesus.jpg
Pep Guardiola berkata tiada penyerang lain di dunia yang mempunyai keamatan tanpa bola lebih hebat daripada Gabriel Jesus ketika pemain kebangsaan Brazil itu membintangi kemenangan 2-1 Manchester City ke atas Real Madrid.

Pemain berusia 22 tahun itu dipilih sebagai pengganti Sergio Aguero di posisi penyerang utama dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah di Santiago Bernabeu awal pagi tadi.

Dia membalas kepercayaan pengurusnya itu dengan aksi bertenaga yang dipamerkannya sepanjang permainan.

Isco membuka jaringan selepas sejam perlawanan untuk Madrid berkelebihan tetapi Jesus -- yang bermula sebagai pemain sayap kiri di samping Kevin De Bruyne -- kembali mengikat kedudukan buat City.

De Bruyne kemudian mengesahkan kemenangan itu dengan menyudahkan sepakan penalti pada lewat permainan.

Guardiola tidak lokek untuk memuji Jesus selepas perlawanan itu dengan berkata dalam sidang media: "Tiada penyerang lain di dalam dunia ini yang mempunyai keamatan tanpa bola seperti Gabriel.

"Dia pemain yang melakukan larian hebat dari belakang.

"Dia bukan pemain terbaik apabila menerima bola di depan tetapi apabila dia bermula dari sebelah tepi untuk melakukan larian menyerong, dia amat pantas dan amat bagus.
 
"Kami memilih untuk bermula tanpa penyerang sebenar disebabkan cara Madrid bertahan.

"Mereka bertahan dengan cara yang istimewa.

"Mereka amat agresif, amat tinggi dan apabila ia berlaku, anda perlu membuka ruang dengan lebih luas.

"Jika anda tidak melakukannya, amat sukar untuk meletakkan bola di depan Sergio Ramos, (Raphael) Varane, (Luka) Modric dan (Federico) Valverde.

"Kami mahu meletakkan bola secara serong ke arah pemain sayap secepat mungkin dan pada minit pertama, ia tidak menjadi.

"Tetapi selepas 15 minit, (Ilkay) Gundogan dan Rodri sudah mula terlibat dan ia menjadi semakin lancar," katanya.

Guardiola menegaskan bahawa perhitungan itu masih belum tamat kerana berdasarkan sejarah Madrid dalam kejohanan itu, mereka berupaya untuk menterbalikkan keputusan berkenaan dalam perlawanan kedua di Manchester pada 17 Mac ini.

"Saya yakin (Zinedine) Zidane dan pasukannya sudah melihat apa yang saya lakukan, dan perlawanan kedua nanti pasti berbeza.

"Hari ini, kami gembira tetapi perlawanan kedua sudah semakin hampir.

"Saya tidak risau tetapi ia masih belum berakhir dan jika terdapat pasukan yang mampu mengatasinya, berdasarkan sejarah, ia adalah Real Madrid.

"Harap-harap kami dapat beraksi baik dan mara," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found