Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola puji karya agung Bernardo Silva dalam Perisai Komuniti

bernardo-silva.jpg
Pep Guardiola menyifatkan prestasi Bernardo Silva dalam aksi Perisai Komuniti malam tadi sebagai "karya agung" sambil mencadangkan pemain Portugis berkenaan sudah pasti menjadi pilihan utamanya dalam barisan Manchester City.

Silva memainkan peranan penting dalam kemenangan 2-0 City ke atas Chelsea di Wembley dengan membekalkan umpanan untuk jaringan kedua Sergio Aguero apabila kelibatnya lebih kerap di bahagian tengah memandangkan Kevin De Bruyne dan David Silva tidak diturunkan. 

Hanya De Bruyne dan Ederson muncul pemain yang lebih banyak beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) berbanding Bernardo Silva musim lalu -- walaupun 20 aksinya bermula daripada bangku simpanan -- dan pengurus, Guardiola, mengakui pemain berusia 23 tahun itu merupakan pilihan utamanya tatkala mereka mendekati kempen baru. 

"Prestasi yang ditonjolkan Bernardo Silva adalah karya agung," kata pengurus City itu.

"Semua orang tahu pemain sayap gemar bersaing. Kini, adanya Bernardo dan 10 pemain yang lain tetapi dalam masa 11 bulan, ia bergantung kepada apa yang mereka pamerkan kepada saya di atas padang.

"Prestasi Bernardo kini jauh melebihi yang lain. Oleh itu, buat masa ini, dia akan bermain.

"Dia sangat bijak, dia licik. Dia adalah pejuang dan pesaing. Saya fikir dia merupakan pemain yang paling disayangi dalam pasukan ini dan hari ini, dia memperlihatkan banyak perkara.

"Dia kembali awal (daripada Piala Dunia 2018) dan itu memberikan makna besar kepada saya dan itulah salah satu punca kemenangan kami pada hari ini. Ada banyak sebab, salah satu sebabnya adalah kerana Bernardo."

Salah satu faktor besar kemenangan City adalah menerusi sumbangan Aguero yang mencetak gol ke-200 buat kelab itu.

Guardiola terkesan dengan sentuhan penjaring terbanyak sepanjang zaman City itu yang yang kembali ke kelab itu sejurus Piala Dunia di Russia berakhir dan percaya pemain Argentina tersebut akan menemui sentuhan apabila City memulakan misi mempertahankan gelaran.

"Kami sangat kagum apabila dia tiba," kata Guardiola mengenai Aguero.

"Sergio sering menghadapi masalah mengenai tahap fizikalnya -- dia mungkin memerlukan sedikit masa mengenai keadaan fizikalnya, sebaliknya dia tiba dengan prestasi memberangsangkan, begitu baik.

"Saya fikir pada akhir musim lalu, pembedahan lututnya... yang ditanggungnya selama bertahun-tahun sebelum ini memberikannya sedikit masalah dan doktor terbaik di dunia, Ramon Cugat, telah menjalankan pembedahan yang sempurna dan kini dia berasa bebas.

"Saya fikir ia adalah berita baik buat kami untuk musim ini. Dia menjaringkan dua gol, menghasilkan peluang dan dia boleh menjaringkan tiga, empat atau lima gol."
 

Advertisement

Must Watch Video