Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola pertahan penggunaan VAR

llorente.jpg
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, kekal menyokong penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) walaupun ia telah membantu memastikan jaringan Fernando Llorente, sekali gus menyingkirkan pasukannya daripada saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.

City meraih kemenangan 4-3 ke atas Tottenham di Stadium Etihad untuk agregat 4-4 tetapi jaringan Llorente ketika perlawanan berbaki 17 minit menyaksikan Spurs lolos ke separuh akhir menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

Raheem Sterling membuka jaringan tetapi City kemudian ketinggalan menerusi dua jaringan Son Heung-min, yang bermakna The Citizens memerlukan tiga jaringan tanpa balas.

Mereka berjaya meledak tiga jaringan menerusi Bernardo Silva, Sterling dan Sergio Aguero yang hampir memastikan kemaraan mereka ke separuh akhir.

Tetapi drama VAR berlaku selepas membenarkan jaringan Llorente -- walaupun ulang tayang jelas menunjukkan bola terkena tangan penyerang itu -- manakala usaha Sterling dalam masa kecederaan ditolak pengadil kerana Aguero berada dalam kedudukan ofsaid.

Walaupun keputusan itu pedih untuk ditelan City, Guardiola kekal menyokong penggunaan VAR.

"Saya menyokong penggunaan VAR, ia membantu untuk melihat dengan lebih jelas sama ada bola sudah terkena tangan Llorente, tetapi pengadil memberikan sebaliknya," kata Guardiola "Pengadil harus dibantu, jika ofsaid, maka ia harus diberikan.

"Saya menerima perlawanan bola sepak yang adil dan keputusan yang adil. Ini adalah untuk masa depan bola sepak yang lebih adil."

Mengulas mengenai jaringan Sterling yang dibatalkan, Guardiola berkata, "Saya tidak tahu. Saya melihat dan pengadil mengambil keputusan untuk melihatnya sebagai ofsaid.

"Sukar untuk menerimanya tetapi City telah melepaskan beberapa peluang dalam aksi pertama. Gagal menyempurnakan sepakan penalti, setiap perkara harus diambil kira di atas penyingkiran ini.

"Pasukan telah memberikan yang terbaik dan saya berbangga dengan penyokong yang hadir. Terima kasih di atas sokongan yang diberikan sepanjang permainan."

Spurs seterusnya akan bertemu Ajax dalam separuh akhir.
 

Advertisement

Must Watch Video