Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Guardiola: Neymar, Griezmann calon menarik untuk Barcelona

neymar_1.jpg
Barcelona menerima sokongan moral dalam pemburuan khidmat Neymar dan Antoine Griezmann daripada bekas pengurus, Pep Guardiola.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu dikaitkan akan kembali ke Camp Nou musim depan, dua tahun selepas meninggalkan LaLiga dengan perjanjian rekod dunia bernilai RM1 bilion.

Sementara itu, bulan lalu, Griezmann mendedahkan keinginan untuk meninggalkan Atletico Madrid, apatah lagi Barcelona hampir mengikatnya sebelum ini. 

Guardiola, yang menghabiskan tempoh empat tahun sebagai pengurus Barcelona sebelum menyertai Bayern Munich dan kini di Manchester City, menganggap kedua-dua pemain itu secocok dengan juara LaLiga berkenaan. 

"Segalanya bergantung kepada idea pengarah sukan dan pengurus," ujar Guardiola kepada wartawan dalam satu majlis di Barcelona.

"Pemain handalan sentiasa dialu-alukan dalam mana-mana pasukan sekalipun. Kedua-duanya merupakan pemain yang sangat bagus."

Guardiola, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai Neymar kerana mahu mengelak daripada terperangkap dengan spekulasi.

"Saya tidak akan mengulas apa-apa lagi, saya tidak berhak," katanya. 

"Itu urusan Barcelona. Saya pernah kekal di kelab itu untuk tempoh yang lama dan saya tidak mahu sebarang pendapat saya disalahtafsirkan."

Guardiola memenangi dua trofi Liga Juara-Juara (UCL) dan tiga kejuaraan LaLiga ketika menguruskan skuad Catalan berkenaan tetapi pengurus berusia 48 tahun itu tidak berniat untuk kembali. 

"Lambat-laun saya akan kembali ke Barcelona tetapi sebagai presiden, jadi lupakan tentang itu," katanya.

"Untuk menjadi presiden, anda perlu tahu (apa yang anda sedang lakukan) dan bersedia menangani situasi yang saya tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. 

"Saya cuba menjadi pengurus yang baik dan ia tidaklah terlalu buruk dalam tempoh sedekad ini. 

"Lambat-laun saya akan kembali ke Barcelona untuk menjalani hidup."
 

Advertisement

Must Watch Video