Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, bersedia untuk satu lagi perebutan sengit mahkota Liga Perdana Inggeris (EPL) yang mungkin ditentukan pada hari terakhir musim ini.

Juara bertahan itu sedang berdepan persaingan sengit tiga penjuru dengan Liverpool dan Arsenal bagi mempertahankan gelaran musim lalu.

The Citizens mengekalkan tekanan menewaskan 1-4 Aston Villa, semalam, yang menyaksikan hatrik Phil Foden menyerlahkan lagi mutu persembahan terbaik mereka itu.

City pernah berada di situasi serupa di bawah kendalian Guardiola, lantas tidak mustahil mampu merampas kedudukan asalkan mereka terus berada dalam rentak kemenangan.

Pengurus dari Catalan itu menegaskan bahawa pasukannya sekadar pilihan ketiga untuk menjulang trofi berkenaan, namun dia menjangkakan anak-anak buahnya akan meneruskan perjuangan tatkala mereka mengintai kejuaraan keempat berturut-turut.

"Jika kami memenangi kesemua baki perlawanan maka kami ia akan memerlukan hari terakhir musim ini sebagai penentuan memandangkan jurang kami bukan lima, enam, tujuh mata," katanya.





“Ia bukan mudah. Perasaan yang saya tanggung bukan mudah. Saya menonton aksi Liverpool dan Arsenal, mereka tidak keciciran mata jadi ini bukan mudah.

“Tetapi kami masih perlu melaksanakan tugas kami dan tidak mahu menyesal kerana tidak berjuang.

"Ia di luar kawalan kami, kami tidak akan menghadapi mereka lagi musim ini jadi kami tidak mampu mengawal Liverpool dan Arsenal.

"Apa yang boleh kami lakukan ialah memenangi baki perlawanan kami.”