Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola gembira prestasi hebat daripada Aguero

sergio-aguero-cropped_1tc430nzp57ml1ap70dgq8jswj.jpg
Sergio Aguero membuktikan dirinya sebagai watak utama untuk membantu Manchester City mempertahankan gelaran liga sambil pengurus pasukan, Pep Guardiola, memuji keadaan sempurna penyerangnya itu.

Bintang Argentina itu meneruskan permulaan cemerlangnya di awal musim dengan jaringan hatrik ketika City menewaskan Huddersfield Town 6-1, semalam.

Ia merupakan catatan hatrik kesembilan yang dikutipnya dalam Liga Perdana Inggeris untuk meletakkannya berada di kedudukan kedua dalam senarai terbaik sepanjang zaman di belakang Alan Shearer, dua minggu selepas Aguero mencatat dua gol dalam aksi Perisai Komuniti berdepan Chelsea.

Walaupun tampil prolifik secara konsisten, penjaring terbanyak sepanjang zaman City itu tetap tidak menjadi pilihan utama Guardiola dan dia hanya berada dalam kesebelasan utama pasukan untuk 22 aksi liga musim lalu.

Namun, pengendali City itu tampak akan memberikan pemain berusia 30 tahun itu tanggungjawab lebih besar  musim ini selepas kembali daripada pembedahan lutut.

"Sejak dia kembali, saya dapat lihat daripada detik pertama bahawa Aguero beraksi dengan sempurna," kata Guardiola.

"Pembedahan daripada Dr Ramon Cugat telah banyak membantu kami kerana Aguero kini berasa bebas setelah bergelut dengan beberapa masalah musim lalu.

"Dia bukan sekadar mencatat jaringan, malah menghadirkan peluang, gerakan, bantuan serta hantaran. Dia tidak pernah berhenti.

"Apabila situasi ini berlaku, Aguero adalah penyerang terbaik di dunia tanpa sebarang keraguan. Ketika ini, sejak aksi Perisai Komuniti, kemudian berdepan Arsenal, ia sempurna."

Bekas penggempur Atletico Madrid itu digandingkan dengan Gabriel Jesus di bahagian depan dalam aksi semalam, menyaksikan penyerang Brazil itu turut meledak satu gol.

Dalam masa sama, Aguero menegaskan dia tidak risau akan kemungkinan kehilangan tempat jika Guardiola kembali menggunakan penyerang tunggal.

"Saya perlu berlatih lebih gigih dan keputuan akan dibuat oleh pengurus pasukan.

"Apabila beraksi, saya perlu menjadi yang terbaik," ujarnya.
 

Advertisement

Must Watch Video