Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola: De Bruyne aset berharga City

de-bruyne.jpg
Pep Guardiola menegaskan pemain tengah Manchester City, Kevin De Bruyne, bukan untuk dijual, secara tidak langsung menggambarkan bintang yang cedera itu sebagai "pemain luar biasa".

De Bruyne membintangi City ketika meraih gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan rekod pungutan mata di bawah bimbingan pengurus Catalan itu musim lalu.

City kehilangan khidmat pemain Belgium itu akibat kecederaan lutut yang memaksa De Bruyne tersisih sehingga November depan.

Guardiola mengakui ia memerlukan rekod dunia untuk menggoda De Bruyne daripada City kerana pemain berusia 27 tahun itu telah menandatangani kontrak baru selama enam tahun pada awal tahun ini.

"Dia sangat mantap, dia pemain yang begitu dinamik," kata Guardiola dalam temubual dengan Universo Valdano.

"(Pengurus Leeds United) Marcelo Bielsa memberitahu saya bahawa dia merupakan pemain kegemarannya. Dia melakukan segala-galanya.

"Pada hari yang lain, saya bertemu ibu-bapanya dan anda boleh mengenali pemain apabila anda mengenali ibu-bapa mereka. 

"Dia seorang budak lelaki yang luar biasa. Klausa pelepasannya bernilai €250 juta (RM1.2 bilion) tetapi saya minta maaf, dia tidak akan dijual."

Guardiola memberitahu Universo Valdano bahawa sebelum bersara, beliau berhasrat untuk kembali ke Barcelona B di mana dia memulakan karier kejurulatihannya.

Pengurus berusia 47 tahun itu mengesahkan beliau juga bercita-cita untuk mencuba sentuhannya di peringkat antarabangsa sekiranya peluang itu muncul.

"Ya, saya akan melatih pasukan kebangsaan jika saya diberi peluang dan mereka mahu saya," kata Guardiola. "Saya mahu mencubanya. Saya sentiasa ingin tahu tentangnya."

Seperti De Bruyne, Guardiola memuktamadkan masa depannya di City dengan kontrak jangka panjang dan bekas jurulatih Barcelona dan Bayern Munich itu kini selesa di Stadium Etihad.

"Ya, saya baru memperbaharui kontrak, saya sangat gembira di sana," katanya. "Saya dilindungi dengan baik, saya tidak rasa dihakimi. Saya berada di kelab yang menarik minat saya."

Advertisement

Must Watch Video