Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Guardiola akui sukar juarai UCL

pep.jpg
Pep Guardiola masih lagi mahukan peningkatan daripada Manchester City dan percaya dia akan dihakimi sama ada dia dapat membawa trofi Liga Juara-Juara (UCL) ke Stadium Etihad.

City mengatasi Watford 6-0 dalam aksi final Piala FA kelmarin yang melengkapkan kejuaraan tiga gelaran domestik musim ini selepas memenangi Piala EFL dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Gelaran UCL, bagaimanapun, masih terlepas daripada dakapan City selepas skuad bimbingan Guardiola itu tewas kepada Tottenham -- yang bakal berdepan Liverpool dalam aksi final bulan depan -- menerusi kelebihan jaringan di tempat lawan.

Bagi Guardiola, yang turut gagal menjuarai UCL bersama Bayern Munich dan kali terakhir melakukannya bersama Barcelona pada 2011, mengakui kejayaan di pentas Eropah akan menjadi pengukur kejayaannya.

"Ya, sudah pasti. Saya tidak mungkin berada di sini, namun saya percaya kami boleh mempertingkatkan lagi mutu permainan," kata Guardiola.

"Saya menyedari sukar untuk mengulangi kejayaan 'treble' atau empat gelaran dalam satu musim, ia merupakan pencapaian yang dilakukan sekali seumur hidup.

"Seperti apa yang saya katakan sebelum ini bahawa pasukan akan dihakimi menerusi kejayaan menjulang UCL.

"Perkara ini hadir kerana saya. Saya sangat bertuah ketika mengendalikan Barcelona selepas berjaya memenangi dua trofi UCL dalam tempoh empat tahun dan ramai yang menjangkakan saya adalah pakar dalam kejohanan tersebut.

"UCL adalah saingan yang sangat sukar kerana setiap lawan yang beraksi memiliki kualiti tersendiri.

"Kami akan membuat persiapan menghadapi Liverpool dalam saingan Perisai Komuniti, perlawanan itu akan menentukan hala tuju pasukan," katanya.

Vincent Kompany telah mengesahkan bakal meninggalkan City dan menyertai Anderlecht sebagai pemain-pengurus.

Nicolas Otamendi dan Fabian Delph turut dilaporkan hampir meninggalkan kelab manakala Ilkay Gundogan dan Leroy Sane masih belum menandatangani kontrak baru.

City mahu memastikan Sane dan Gundogan kekal bersama kelab dan Guardiola menjelaskan dia telah banyak mempelajari perkara baru bersama skuadnya.

"Kami menawarkan Sane dan Gundogan kontrak lanjutan dan berharap kedua-duanya kekal, kami berharap mereka terus bersama pasukan musim hadapan."

Advertisement

Must Watch Video