Skip to main content

Bola Sepak

Guardiola akui City tak mampu kejar Liverpool

pepguardiola.jpg
Pep Guardiola mengakui tidak mampu lagi menghalang Liverpool dalam mengejar gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mereka tewas 2-0 kepada Tottenham.

Penyandang juara, City, ketinggalan 22 mata selepas jaringan yang disempurnakan oleh Steven Bergwijn dan Son Heung-min menyempurnakan kemenangan Spurs awal pagi tadi.

Ilkay Gundogan gagal menyempurnakan sepakan penalti sementara Oleksandr Zinchenko dilayangkan kad merah sebelum jaringan sulung daripada Bergwijn mencetus inspirasi tuan rumah di Stadium Tottenham Hotspur.

Guardiola melihat tiada harapan buat skuad kendaliannya kekal bergelar juara ketika saingan berbaki 13 perlawanan dan meletakkan tumpuan kepada saingan Liga Juara-Juara (UCL), Piala FA dan Piala EFL.

Pengurus City itu, yang berbincang dengan pemain-pemainnya dalam bilik persalinan hampir 50 minit selepas tewas di London Utara itu, berkata, "Kami jauh ketinggalan dan mereka seperti tidak boleh diatasi. Mereka memiliki banyak mata, kami pula banyak kehilangan mata seperti dalam perlawanan ini.

"Sasaran kami adalah memenangi kejohanan lain dan layak ke UCL musim depan."

Guardiola turut mencadangkan Ketua Pegawai EPL harus meluahkan kebimbangan ke atas dominasi Liverpool, sama seperti yang dilakukan Richard Scudamore kepada City ketika beliau memegang jawatan pengerusi eksekutif.

Dia berkata, "Dua musim terakhir, pemilik daripada EPL telah berkata ia tidak boleh berlaku lagi.

"City menang gelaran dengan 100 mata tidak bagus untuk EPL, kini dengan Liverpool, pemilik harus sekali lagi bimbang dengan perkara ini."



Editor: Ammar Hakim

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found